Thursday 25 July 2013

‘Saya Tidak Sanggup Tinggalkan Mak’


Ramadan tahun ini tidak membawa perubahan dalam hidup Ainatun Nadrah Napiah, 23, kerana ibunya masih belum pulih selepas 10 tahun terlantar sakit.
Bagaimanapun, dia reda dengan ketentuan ALLAH dan nekad menjaga ibunya, Miah Mat Janin, 48, sehingga akhir hayatnya.
Menurutnya, dia tidak membuat sebarang persiapan menyambut Ramadan dan hanya menyediakan keperluan ala kadar.
“Perhatian saya dan adik kini lebih kepada mak memandangkan adik-beradik lain sudah mempunyai keluarga sendiri,” katanya.
Ainatun berkata, sudah banyak usaha dilakukan termasuk rawatan tradisional bagi memastikan ibunya kembali normal, namun sehingga kini tidak menampakkan perubahan ketara.
Katanya, akibat kesukaran mendapatkan kenderaan menyebabkan dia sekeluarga mengambil keputusan tidak membawa ibu mereka ke hospital untuk rawatan susulan.
Bekas mahasiswa Universiti Teknologi Mara (Uitm) itu juga tidak membuat sebarang persiapan untuk bekerja, malah belum mengisi sebarang borang kerana tidak sanggup meninggalkan ibunya di rumah.
Menurutnya, ibunya kini tidak boleh lagi makan makanan berat, kecuali minum milo dan makan roti.
“Dulu memang mak makan bubur nasi, tapi sekarang sudah tidak boleh. Dia akan tersedak kalau makan nasi,” katanya.

No comments:

Post a Comment