MACHANG - Sekali pandang, pasti ramai beranggapan rumah didiami 16 beranak di Kampung Kuala Ayer Merah dekat sini, itu rumah tinggal dan tidak berpenghuni.
Hakikatnya, 16 nyawa berlindung dari panas dan hujan di rumah itu sekalipun menyedari mereka diancam bahaya rumah runtuh saban hari.
Ketua keluarga, Mohd Hadthi Zakaria, 41, berkata, dia sekeluarga tinggal di rumah itu sejak 11 tahun yang lalu, selepas pulang ke kampung halaman isterinya.
Menurutnya, dengan pendapatan sebagai penoreh getah kira-kira RM25 sehari, dia tidak mampu membaiki atau menyediakan rumah yang lebih baik untuk keluarganya biarpun menyedari anak-anaknya sangat memerlukan tempat berlindung yang lebih selesa.
“Anak-anak saya masih kecil, hanya tiga daripada mereka tidak bersekolah dan selebihnya sedang belajar, termasuk seorang di universiti. Saya terpaksa utamakan perbelanjaan persekolahan dan makan pakai mereka berbanding membaiki rumah ini.
“Lagipun rumah ini perlu dibaiki secara keseluruhan atau dibina baru. Struktur rumah ini sudah reput dimakan anai-anai, kosnya bukan sedikit sedangkan makan minum kami seharian pun, saya dan isteri terpaksa berjimat,” katanya.
Mohd Hadthi berkata, dia sekeluarga tidak tahu ke mana mahu mengadu nasib mereka dan terpaksa bertahan dari hujan dan panas biarpun mempunyai tempat tinggal.
Katanya, rumah yang diduduki keluarganya itu tidak layak dipanggil rumah namun, mereka tidak punya pilihan termasuk menyewa rumah akibat kesempitan wang.
Menurutnya, dia dan keluarga terpaksa menumpang mandi dan mendapatkan bekalan air serta elektrik daripada rumah mertuanya yang terletak berdekatan.
“Kalau hujan lebat, anak-anak saya akan berlari ke rumah mertua saya dan duduk di beranda rumah untuk berlindung memandangkan rumah kami juga daif. Jika tidak, mereka tidur atau duduk dalam hujan sekalipun berada di dalam rumah.
“Rumah ini menjadi tempat kami tidur dan makan sahaja, selebihnya kami banyak habiskan masa di luar rumah memandangkan lantai rumah ini juga reput. Pernah terjadi anak-anak jatuh ke bawah rumah ketika tidur,” katanya.
Mohd Hadthi berkata, selain menoreh getah, dia turut mencari pendapatan tambahan dengan mengusahakan ‘prebet sapu’ di sekitar kampung namun, tidak banyak yang mampu diusahakannya.
Katanya, isterinya, Zurina Fauzi, 37, juga turut membantunya menoreh getah dengan menghantar anak bongsu mereka yang berusia setahun di bawah jagaan ibu mertuanya demi sesuap nasi.
“Saya bimbangkan masa depan anak-anaknya yang masih kecil, terutamanya yang sedang belajar. Mereka tidak mendapat kemudahan seperti orang lain.
“Anak-anaknya tidak dapat belajar dengan baik kerana tidak mempunyai ruang dan bekalan elektrik untuk mengulang kaji pelajaran pada waktu malam.
“Saya sangat berharap ada pihak sudi membantu kami. Cukuplah sekadar tempat tinggal yang selesa dan selamat untuk anak-anak agar mereka dapat belajar dengan baik seterusnya mengubah nasib keluarga kami,” katanya.
No comments:
Post a Comment