Hasrat murni seorang kelindan memberi isyarat kepada pemandu lain agar menukar laluan bersebelahan bagi memastikan mereka mengelak daripada merempuh lorinya yang rosak mengundang padah apabila maut dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, di Persiaran Raja Muda Musa, Pelabuhan Klang, mangsa dikenali A Kamaraj, 25, dari Pandamaran meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan lain selepas terseret beberapa meter.
Sebelum kejadian berlaku, mangsa bersama pemandu lori sedang membawa muatan barangan alat ganti kenderaan dari arah Klang menghala Pelabuhan Klang.
Setibanya di tempat kejadian, lori yang dinaiki tiba-tiba mengalami kerosakan ketika berada di laluan paling kanan memaksa pemandunya terpaksa memberhentikan kenderaan.
Dia kemudiannya bergegas ke lokasi lain dipercayai untuk memanggil mekanik bagi membaiki kenderaannya.
Sementara itu, kelindannya dikatakan menunggu sambil berdiri bersebelahan kenderaan itu untuk memberi isyarat kepada pemandu lain agar segera menukar laluan bagi mengelak merempuh lorinya.
Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintenden Rosly Abdul Rahman berkata, secara tiba-tiba sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Frontier yang dipercayai dipandu laju gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh bahagian belakang lori tersebut.
“Mangsa yang berdiri tidak sempat menyelamatkan diri sekali gus menyebabkan lori dan mangsa terseret sejauh kira-kira lima meter.
“Mangsa terseret di bawah lori itu hingga ke laluan paling kiri dan tersangkut pada pengadang jalan,” katanya.
Berikutan kejadian itu katanya, mangsa meninggal dunia di bawah lori tersebut dan anggota bomba memberi bantuan untuk mengeluarkan mangsa.
“Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.
“Sementara itu, pemandu kenderaan pacuan empat roda pula hanya mengalami kecederaan ringan dan kenderaannya remuk teruk di bahagian hadapan,” katanya.
No comments:
Post a Comment