SEKITAR 23 Ogos tahun 79 Masihi (M), keadaan di Pompeii (kini satu kawasan di Itali) kelihatan sibuk sama seperti kota purba lain – penduduknya bergerak ke sana sini, berjual beli dalam bangunan atau gedung besar serta berinteraksi antara satu sama lain. Sehinggalah tiga hari kemudian, secara tiba-tiba saja satu kejadian misteri melanda kota berkenaan sehingga menyebabkan bangunan dan penduduknya lenyap bagaikan tidak pernah wujud pada muka bumi ini.
Seterusnya selama 1,500 tahun, kewujudan kota Pompeii yang suatu ketika dulu menjadi antara kota terkemuka dalam Empayar Rom, hilang dalam lipatan sejarah. Tiada siapa yang mengetahui kewujudan kota berkenaan.Masa terus berlalu sehinggalah ketibaan 1594; sekumpulan pekerja diarahkan menggali terowong di kaki gunung berapi Vesuvius bagi projek membekalkan air kepada sebuah kampung berdekatan.
Kerja mengorek tanah dijalankan dengan giat tetapi secara tiba-tiba kumpulan pekerja itu terpaksa menghentikan aktiviti berkenaan selepas menemui sesuatu benda aneh tertanam di dalam tanah.Tinggalan aneh berbentuk artifak itu dikeluarkan dan berita penemuannya terus tersebar luas menyebabkan semakin banyak kerja cari gali dilakukan di kawasan itu.Bagaimanapun, pada 1631, gunung berapi Vesuvius meletus tujuh kali sehingga memusnahkan apa saja yang berada berhampirannya termasuk kawasan penemuan artifak berkenaan.
No comments:
Post a Comment