Terpisah di antara jarak beratus ribu kilometer, pengacara TV3, Ally Iskandar yang baru diijabkabulkan pada 20 Januari lalu mengaku terlalu rindu pada isterinya, Farah Lee, yang kini sedang berada di Korea bagi meneruskan pengajiannya di sana.
Pengacara kecil molek itu menjelaskan bahawa dia kerap menghubungi Farah Lee melalui talian Skype selama berjam-jam lamanya melepaskan rindu dan ada ketikanya sehingga tertidur di depan komputer.
“Walaupun saya agak sedih kerana terpaksa berpisah sementara dengan isteri, tetapi saya sangat bahagia dengan kehidupan sekarang ini. Namun saya tidak nafikan perkahwinan jarak jauh sangat mencabar.
“Tapi ini hakikat yang kami sedia terima. Selepas hantar Farah kembali ke Korea tempoh hari saya rasa masa berjalan begitu perlahan.
“Sebab saling merindu kami selalu habiskan masa berbual-bual di Skype berjam-jam lamanya. Sampai tertidur pun ada,” katanya.
Selain itu, Ally juga menjelaskan bahawa dia kini perlu lebih berjimat cermat berbelanja memandangkan kos hubungan suami isteri jarak jauh sememangnya memerlukan kos yang agak tinggi, apatah lagi pasangan ‘comel’ itu telah berjanji untuk bertemu sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh sebulan.
“Saya memang berjimat-cermat untuk berulang-alik ke Korea. Walaupun beli tiket daripada Air Asia, tetapi kosnya agak tinggi juga. Sekarang ini perbelanjaan saya tidak sama seperti masih solo dahulu. Saya ada tanggungjawab sebagai seorang suami,” katanya yang sedar dengan tanggungjawabnya.
Ally turut memberitahu bahawa dia sering berpesan kepada Farah Lee untuk bijak menjaga diri di perantauan dan menyedari dirinya yang kini bergelar seorang isteri.
Bagaimanapun, pengacara program Mentor itu mengakui bahawa dia juga perlu memberikan contoh yang baik kepada isterinya dan tidak mengharapkan Farah Lee sahaja untuk menyesuaikan diri dengan alam perkahwinan yang baru dibina.
“Walaupun Farah masih bergelar pelajar dan tinggal berasingan daripada saya, tetapi di harus ingat dengan statusnya sebagai seorang isteri.
“Kalau dulu dia bebas membuat keputusan sendiri mahupun ke mana sahaja. Tapi sekarang dia kena maklumkan saya terlebih dahulu. Ini kerana segala perbuatannya akan berkait dengan saya.
“Dalam masa yang sama, saya juga perlu menunjukkan contoh yang baik. Saya tidak boleh mengharapkan Farah sahaja berbuat begitu. Saya juga selalu maklumkan kepada Farah tentang rutin harian saya. Kami saling berkongsi dan menghormati antara satu sama lain,” katanya lagi.
Mengulas mengenai menimang cahayamata, Ally tidak menafikan Farah dan dirinya inginkan anak namun terpaksa menangguhkan hasrat tersebut memandangkan isterinya itu masih menuntut di universiti serta perlu menunggu sehingga dia tamat belajar terlebih dahulu.
“Masa dan keadaan tidak mengizinkan kami untuk menimang cahaya mata dalam waktu terdekat ini. Farah masih lagi belajar. Tunggulah dia pulang ke Malaysia dahulu. Kalau ikutkan hati, memang saya hendak sangat anak, tapi kenalah bersabar dahulu,” katanya.
No comments:
Post a Comment