Anumax - HQ

Kedai Emas Sri Harmoni

Dapatkan Mainan Serta Keperluan Kanak2 Pada Harga Borong Di Sini..

Sunday, 8 September 2013

Susulan tahanan lolos: ‘Dik, dengar cakap kakak…’


“Adik, dengar cakap kakak, keluarlah dari tempat persembunyian. Serah diri kepada polis,” rayuan Norazah Abdul Rahman, 40, kakak kepada Hisham, salah seorang tahanan yang melarikan diri dan kini dijejaki polis sejak tiga hari lalu.
Norazah yang tinggal di Kampung Pokok Tampang di sini berkata, sebagai kakak dia memahami perangai dan sikap adik keempat daripada tujuh beradik itu kerana selain mempunyai hubungan yang rapat, mereka juga tinggal berdekatan di kampung itu.
“Saya percaya dia terpengaruh dengan enam rakannya untuk melarikan diri kerana dia sebenarnya bukan seorang yang berani tetapi mudah terikut.
“Saya merayu agar dia muncul dan menyerah diri kepada polis kerana sebagai anggota keluarga yang rapat kami akan sentiasa memberi sokongan kepadanya terutama di saat getir sebegini,” katanya.
Norazah yang bekerja sebagai pembantu kantin sebuah sekolah di sini berkata, adiknya itu mula menjadi liar selepas kematian ibu bapa mereka dua tahun lalu.
“Dia tinggal bersama arwah di rumah pusaka bersebelahan rumah saya dan sejak kematian mereka, dia dilihat sering berkeadaan murung dan tidak ceria.
“Dia juga dikesan mula mengambil dadah selepas bercerai dengan isterinya, malah mula meninggalkan kerja sebagai pengawal keselamatan sebelum terlibat dalam beberapa jenayah kecil sekitar kampung sehingga ditangkap akhir tahun lalu,” katanya.
Hisham, duda beranak dua adalah salah seorang tahanan yang dicari selepas meloloskan diri bersama lapan rakannya sewaktu dibawa untuk prosiding di Mahkamah Butterworth Isnin lalu.
Norazah berkata, difahamkan adiknya dibawa ke mahkamah pada hari kejadian untuk dijatuhi hukuman selepas didapati bersalah merompak hujung tahun lalu.
“Dua hari sebelum kejadian itu, suami kakak melawatnya di Penjara Pulau Pinang dan selepas dinasihati dia berjanji untuk bertaubat dan menjadi manusia baik.
“Kami gembira mendengar berita itu tetapi sayang tak menjadi kenyataan apabila dimaklumkan yang dia kini menjadi buruan polis,” katanya.
Norazah berkata, sejak kejadian itu adiknya tidak lagi menghubunginya atau pulang ke rumah menyebabkan mereka sekeluarga bimbang mengenai nasibnya.
“Keluarlah dari tempat persembunyian dan serah diri kerana lambat laun polis akan berjaya tangkap juga. Tambahan lagi hidup sebagai pelarian tidak ada kesudahannya.
“Kotakan janji adik untuk menjadi manusia baik dengan langkah pertama menyerah diri kepada polis terlebih dahulu,” kata Norazah dalam keadaan sedih.

No comments:

Post a Comment