Memilukan apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang cuba menyelamatkan rakannya berusia enam tahun daripada lemas turut menerima nasib sama di Sungai Durian, berdekatan Pondok Sungai Durian, di Kuala Krai, kelmarin.
Dalam kejadian jam 6 petang, Muhammad Zarrin Mohd Amin pada mula mandi bersama Muhammad Abdul Latif Alias di Sungai Durian, di sini. Bagaimanapun, tiba-tiba Abdul Latif dihanyutkan arus deras, menyebabkan Zarrin cuba menyelamatkannya.
Bagaimanapun, cubaan Zarrin menarik rakannya gagal, malah dia turut dihanyutkan arus deras sebelum tenggelam.
Kejadian disaksikan adik Zarrin, Muhammad Qiamuddin, 6, lalu segera memaklumkan seorang penduduk kampung yang juga anggota bomba sebelum terjun ke sungai dan berjaya menemui mangsa beberapa minit kemudian.
Kedua-dua mangsa, yang belajar di Sekolah Pondok Sungai Durian dan bakal memasuki tahun satu tahun depan, dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) dengan sebuah kereta penduduk kampung, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan jam 7 malam.
Jenazah dua sahabat dari Sungai Durian, dikebumikan di Tanah Perkuburan Pondok Sungai Durian jam 9.30 pagi semalam.
Menurut Qiamuddin, ketika abang dan rakannya mandi, dia hanya duduk di tebing sungai.
“Saya nampak Latif lemas dan abang cuba bantu, tapi dia terus tenggelam.
“Saya beritahu kejadian itu kepada seorang pak cik (penduduk kampung yang juga anggota bomba), dan dia terjun ke sungai dan dapat cari (menemui) abang serta rakannya. Selepas itu mereka dibawa ke hospital,” katanya yang sedih selepas mendapat tahu abangnya meninggal dunia.
Kakak sulung Muhammad Zarrin, Nur Hidayah, 24, pula berkata, arwah rapat dengan Latif serta sering bermain bersama.
“Arwah tidak menunjukkan perubahan. Jika ada sekalipun, mungkin kami tak perasan sebab arwah sentiasa aktif dan periang. Bagaimanapun, kami reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya.
Dalam pada itu, bapa Abdul Latif, Alias Mamat, 43, ketika ditemui berkata, ketika kejadian dia berada di anjung rumah dan mengasah parang sebelum didatangi jiran memaklumkan anaknya lemas.
Bagaimanapun, dia enggan mengulas lanjut dan reda dengan apa yang berlaku.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdul Rahman Jaafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut serta tiada unsur jenayah.
No comments:
Post a Comment