Taktik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang sengaja melepaskan seorang lelaki India untuk diekori dapat menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah apabila menahan tiga suspek bersama syabu bernilai RM3.9 juta yang disorok di dalam 15 keping karpet alas kaki kelmarin.
Sebelum ditahan, lelaki India berusia 37 tahun terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan bersama sebuah beg yang mengandungi karpet seberat 15.6 kilogram sebaik tiba pada pukul 10.30 malam Selasa lalu di Terminal Penerbangan Tambang Murah dari Bangalore, India.
Timbalan Pengarah Kastam Cawangan Narkotik, Liah Omar berkata, pihaknya kemudian sengaja melepaskan lelaki itu sebelum pasukannya mengekori suspek hingga ke sebuah hotel murah di ibu negara.
Katanya, intipan kemudian mendapati dua lelaki tempatan berusia 20 dan 55 tahun menemui suspek di dalam sebuah bilik di hotel tersebut.
“Kita kemudian menyerbu bilik itu lalu menahan ketiga-tiga suspek sebelum mereka mengedar dadah yang disembunyikan di dalam karpet alas kaki tersebut.
“Siasatan pada dua buah kereta yang dinaiki dua lelaki tempatan itu pula menemui tujuh gram syabu dan wang RM10,000,” katanya.
Tambahnya, lelaki India itu didapati telah memasuki negara ini sebanyak tiga kali sebulan sejak Mei lalu.
Kesemua suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
No comments:
Post a Comment