Jeddah – Dua wanita Indonesia yang datang ke Arab Saudi untuk bekerja sebagai pembantu rumah menjadi jutawan selepas mewarisi jutaan riyal daripada suami masing-masing yang sudah meninggal dunia.
Lelaki Saudi terbabit mulanya mengambil mereka sebagai pembantu rumah tetapi kemudian mengahwini mereka.
Seorang daripada wanita itu yang menetap di Riyadh, menerima SR5 juta (RM4.1 juta) minggu lalu sementara dalam satu lagi kes, wanita yang berkahwin dengan hartawan hartanah menerima SR20 juta (RM16.4 juta) baru-baru ini selepas sebuah mahkamah Taif mengarahkan waris jutawan itu membayarnya jumlah berkenaan.
“Kedua-dua wanita itu menerima bahagian kekayaan suami masing-masing menerusi sistem undang-undang Syariah yang dilaksanakan di negara ini,” kata jurucakap kedutaan Indonesia di Riyadh, Shabda Thian.
Beliau bagaimanapun enggan menyebut nama kedua-dua wanita itu.
“Banyak lagi cerita positif mengenai Tenaga Kerja Indonesia di Arab Saudi, bukan setakat penderaan yang sering dilaporkan,” katanya.
Dalam kes pertama, wanita terbabit tiba di Saudi 11 tahun lalu untuk bekerja dengan jutawan hartanah, Ali Ayami di Taif. Mereka berkahwin dua tahun selepas itu.
Perkahwinan mereka tidak berpanjangan kerana lelaki itu meninggal dunia dan meninggalkan beberapa keping tanah serta bangunan apartmen di Taif.
Wanita Indonesia itu menetap di Arab Saudi sehingga dia memperoleh harta peninggalan suaminya itu.
“Dia sudah menerima SR20 juta (RM16.4 juta) dan menanti kira-kira SR90 juta (RM73.8 juta) lagi hasil daripada jualan harta suaminya,” kata satu sumber yang enggan dikenali.
Menurut Shabda, wanita kedua yang berusia 45 tahun mewarisi SR6.3 juta (RM5.17 juta) selepas suaminya meninggal dunia beberapa bulan lalu. Wanita itu sebelum ini bekerja sebagai tukang jahit untuk lelaki itu yang memiliki dan mengendalikan sejumlah besar kedai mainan di Riyadh, ‘ Al-Sogel Toys.’ “Mereka hidup bersama kira-kira 10 tahun sebelum suaminya meninggal dunia pada 2010,” kata Shabda.
Menurutnya, pihak kedutaan bekerja rapat dengan beberapa pihak, termasuk keluarga si mati untuk menyelesaikan tuntutan harta itu. – AN
No comments:
Post a Comment