Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memasang 1,200 unit kamera litar tertutup (CCTV) dalam usaha terbarunya mengurangkan jenayah dan mengawasi kesesakan lalu lintas di ibu negara.
Pemasangan CCTV ini akan dibuat secara berperingkat dan melibatkan kos sebanyak RM190 juta.
Difahamkan daripada jumlah keseluruhan CCTV yang dipasang, 300 unit adalah untuk kegunaan khas PDRM.
Dikatakan yang CCTV ini akan disambung dengan sistem maklumat ke semua balai polis, dengan lebih daripada 300 unit disediakan khas untuk mengurangkan jenayah
Bagi pengawasan lalu lintas, semua CCTV ini akan disambungkan dengan Pusat maklumat ITIS (Integrated Transport Information System) bagi pengawalan bersepadu.
Dalam erti kata lain, DBKL boleh menyelaraskan semua aktiviti berkaitan gambar dan juga maklumat-maklumat yang boleh digunapakai mereka dari segi trafik dan pihak polis dari segi jenayah.
Sekali lalu bunyinya memang menarik tetapi ada perkara yang perlu diperjelas dan dimaklumkan pada masyarakat, apatah lagi bila ia melibatkan duit awam yang bukan sikit jumlahnya.
Kita pergi kepada ITIS sendiri, ia sebuah sistem maklumat pengangkutan bersepadu yang dibina khas untuk DBKL mengawasi aliran trafik serta menganalisa data keadaan lalulintas di Lembah Kelang untuk disampaikan kepada pengguna jalan raya.
Tetapi Laporan Ketua Audit Negara 2011 menyatakan bahawa pelaksanaan sistem itu GAGAL mencapai spesifikasi yang sepatutnya, bahkan lebih 60 peratus kamera CCTVnya gagal berfungsi!
Perlu diingat, projek ITIS yang menelan kos sebanyak RM365 juta itu dilaksakanakan pada 2005 melalui tender terus.
Dan kini GTC Global Sdn Bhd diberi pula kontrak oleh DBKL sebanyak RM200 juta untuk pemasangan 1,200 CCTV.
Kebimbangan pelbagai pihak yang tidak mahu sejarah kegagalan ITIS berulang harus diambil kira.
Kita nak tahu juga, apa kelebihan yang dimiliki syarikat ini sehingga ia mampu memperoleh kontrak yang besar dan semahal itu?
DBKL kena ingat, campur tolak darab dan bahagi, kos kamera CCTV yang terbaru ini, dicampur dengan kos ‘kewujudan’ ITIS telah menyebabkan DBKL telah berbelanja lebih RM500 juta…maknanya lebih separuh billion!
Kita tak nampak setakat ini nilai yang dibelanjakan itu berbaloi…yang selalu kita lihat di papan tanda ITIS adalah ‘ucapan selamat ‘ menyambut hari-hari perayaan…
Setelah melihat kegagalan ITIS, setelah mengetahui jumlah besar peruntukan yang terpaksa dibuat oleh DBKL, dah tiba masanya pihak DBKL memperincikan semua ini kepada warga kota.
Kita nak tahu apakah jaminan kegagalan ini tidak berulang, kita nak tahu adakah pemberian kontrak ini dibuat secara tender terbuka atau rundingan terus.
DBKL kena ingat, rakyat juga ada ‘CCTVnya’ sendiri…dan percayalah ‘CCTV’ mereka lebih bahaya dan berkuasa!
No comments:
Post a Comment