KOTA KINABALU: Seorang lelaki kelahiran Sabah membelanjakan setengah juta ringgit bagi membina rumah terbalik pertama di Malaysia yang menyampaikan mesej alam sekitar.
Alexander Yee berkata, struktur rumah luar biasa yang terletak di Kampung Bantayan-Telibong, kira-kira 40 kilometer dari bandar itu amat berbaloi.
“Jika kita terus mengeksploitasi sumber semulajadi secara berterusan, lambat laun kita akan melihat dunia ‘terbalik’ (musnah),” kata Yee yang memiliki firma binaan selain mengusahakan rumah penginapan untuk pelancong di taman hidupan liar daerah Kinabatangan di pantai timur Sabah.
Yee menunjukkan rumah yang berkeluasan 140 kaki persegi itu dilengkapi dengan kemudahan lengkap termasuk ruang tamu, bilik mandi, ruang makan dan juga dapur yang mempunyai ciri-ciri tradisional Sabah.
Dia berkata, semuanya diletakkan secara terbalik dan ini termasuk peti sejuk, dapur memasak dan periuk nasi di dapur serta mesin jahit.
Pembinaan rumah terbalik itu mengambil masa hampir enam bulan melibatkan bumbung, dinding dan lantai yang diperkukuhkan dengan hiasan dalaman yang membuatkannya seperti tergantung.
Yee berkata, pengunjung boleh melawat rumah terbalik itu.
Bayaran masuk berharga RM18 bagi orang dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak berusia sehingga 12 tahun.
Bagi mereka yang mempunyai MyKad boleh mengunjungi rumah terbalik itu dengan bayaran RM10.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai rumah terbaik Yee di laman sosial Facebook yang dibuka untuk rekaan terbaru itu.
No comments:
Post a Comment