Seorang wanita ditangkap kerana cuba menyeludup kokain seberat 1.5 kilogram dalam untaian rambutnya di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, semalam. Warga Afrika Selatan, Nobanda Nolubabalo, 23, ditangkap di ibu negara Thai itu selepas polis menyedari bahan putih pada rambutnya.
Pegawai kemudian menjalankan pemeriksaan dan mendapati dia menyelitkan dadah Kelas A itu ke dalam untaian rambutnya sebelum menaiki pesawat dari Brazil.
Akhbar Bangkok Post melaporkan, kokain yang diseludup itu bernilai 4.5 juta baht (RM450,000).
Menurut akhbar itu, Nobanda mengaku cuba menyeludup dadah berkenaan dan berkata dia bersetuju menjadi keldai dadah selepas ditawarkan sebanyak 60,000 baht oleh seorang ahli perniagaan yang berpusat di Thailand.
Thailand adalah antara negara yang mempunyai undang-undang antidadah paling tegas di dunia dengan hakim dibenarkan mengenakan hukuman mati terhadap penyeludup.
Penangkapan warga Afrika Selatan itu menyusuli hukuman mati terhadap seorang warga negara itu di China baru-baru ini atas kesalahan menyeludup dadah.
Janice Linden, 38, menjalani hukuman itu dengan suntikan maut selepas dia ditangkap pada November 2008 kerana cuba menyeludup tiga kilogram dadah jenis methamphetamin ke Guangzhou, bandar di selatan China.
Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma merayu kepada kerajaan China supaya menarik balik hukuman itu sebelum Janice menjalani hukuman di penjara.
Rayuan itu bagaimanapun ditolak oleh pihak berkuasa China.
No comments:
Post a Comment