Mangsa gangguan api misteri, Zainab Sulaiman, 75, melahirkan rasa bersyukur dan gembira apabila kejadian api misteri yang berlaku semenjak tiga tahun lalu kini sudah tidak berlaku lagi.
Dia yang tinggal bersama anak dan cucunya di rumah yang terletak di Kampung Penambang Bunga Emas di sini berkata, mereka sekarang dapat hidup dengan tenang dan melakukan kerja harian tanpa perlu memikirkan masalah tersebut.
“Sudah 16 hari kami tidak diganggu oleh api misteri selepas mendapat rawatan daripada Pusat Rawatan Islam At-Tobibi dari Nilai, Negeri Sembilan.
“Makcik berharap misteri ini akan berakhir buat selamanya dan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu kami,” katanya.
Sementara itu, pengasas pusat rawatan tersebut, Shamsuri Shafie berkata, pihaknya akan terus membuat pemantauan dari masa ke semasa ke atas rumah itu dalam usaha untuk memastikan gangguan tersebut tidak berulang.
Beliau berkata, pihaknya hanya mampu berikhtiar selebihnya ALLAH SWT yang menentukan dan memohon kepada keluarga tersebut agar memperbanyakkan solat Hajat serta berdoa semoga gangguan yang dialami pulih sepenuhnya.
“Semua ini adalah ujian dari ALLAH SWT kepada keluarga makcik Zainab dan saya yakin mereka dapat mengharunginya dengan tabah,” katanya.
No comments:
Post a Comment