Seorang buruh tidak menyangka bau busuk seperti bau bangkai membawa kepada penemuan mayat bapa mertuanya di sebuah rumah, dekat Dungun, lewat petang kelmarin.
Rahsia kematian warga emas itu terbongkar kira-kira jam 6.30 petang apabila menantunya, Ahmad Suhardi Ibrahim, 33, yang ketika itu sedang mencuci peti sejuk di rumahnya terhidu bau busuk datang dari arah rumah bapa mertuanya yang terletak bersebelahan rumahnya.
Menurut Ahmad Suhardi, sangsi dengan bau yang mencurigakan itu, dia terus ke rumah bapa mertuanya lalu memanggil nama mangsa, namun panggilannya tidak disahut.
Dia cuba membuka pintu namun terkunci dari dalam menyebabkan dia mengambil keputusan memecahkan pintu tersebut.
Sebaik pintu terbuka, Suhardi melihat bapa mertuanya dalam keadaan terlentang di ruang tamu.
“Kali terakhir dia datang ke rumah saya pada Isnin lalu untuk menonton televisyen.
“Selepas itu dia tidak datang lagi dan saya pula tidak menjenguknya kerana sibuk dengan urusan kerja, tak sangka dia sudah tiada,” katanya.
Mayat bapa mertuanya yang dikenali sebagai Mamat Yusof, 78, dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.
Berdasarkan keadaan fizikal mayat, mangsa dipercayai sudah meninggal lebih daripada 48 jam.
Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacob mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
No comments:
Post a Comment