Anumax - HQ

Kedai Emas Sri Harmoni

Dapatkan Mainan Serta Keperluan Kanak2 Pada Harga Borong Di Sini..

Tuesday, 1 October 2013

‘Mak Sakit, Mak Rindu Kamu’


“Mak sakit, mak rindukan kamu. Kalau boleh mak ingin jumpa buat kali terakhir,” demikian rayu seorang warga emas, Mariam Abdullah, 76, ketika meminta agar anak tunggalnya yang telah terpisah sejak lebih 60 tahun lalu datang menjenguknya.
Mariam ketika ditemui Sinar Harian di rumah perlindungan warga emas atau Rumah Sejahtera Taman Bahagia, Wakaf Dua di sini, dalam nada sebak memberitahu, anaknya yang dikenal sebagai ‘Awang’ itu telah terpisah dengannya sejak dia berumur 18 tahun.
Menurutnya, selepas mendirikan rumah tangga pada usia 13 tahun dengan pasangannya, Ngah, Mariam melahirkan anak lelaki setahun selepas itu dan ketika anaknya berumur 4 tahun, suaminya itu meninggal dunia dalam satu pergaduhan keluarga.
“Arwah suami (pada masa itu) meninggal dunia selepas berlaku pertelingkahan dalam keluarga sebelah suami, dada suami terkena kapak (kerana bergaduh) lalu meninggal dunia dan mak cik membawa diri selepas kejadian itu,” katanya.
Mariam berkata, sejak itu dia bukan sahaja terpisah daripada anak lelakinya malah tidak pernah menjenguknya atas sebab peribadi tambah pula ketika itu dia masih mentah dan muda serta baru berumur 18 tahun.
Menurutnya, selepas kejadian itu dia menetap di beberapa negeri sebelum mendirikan rumah tangga buat kali kedua beberapa tahun kemudian tetapi tidak mendapat cahaya mata dan kembali hidup keseorangan selepas suaminya meninggal dunia 12 tahun lalu.
“Sepanjang 12 tahun lalu mak cik hidup sendiri, dulu mak cik pernah tinggal di Kuantan dan beberapa daerah lain di negeri itu kerana mengikut suami yang bekerja sendiri (buruh) sebelum pulang dan menetap di Kemaman dan Dungun di negeri ini.
“Kali terakhir mak cik tinggal seorang diri di sebuah rumah usang di tanah orang di Kampung Binjai Stesen, Dungun sebelum dihantar pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke rumah jagaan ini pada Jun tahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian.
Mariam yang agak uzur kerana faktor usia berkata, dia bagaimanapun tetap gembira dapat tinggal di rumah kebajikan itu kerana mempunyai rakan seusianya untuk bersembang malah bersembahyang di surau berdekatan jika kesihatannya baik.
“Bagi mak cik, ia bukan suatu yang menyedihkan kerana mak cik sendiri memilih untuk tinggal di sini dan tidak lagi berasa sunyi hidup sendirian seperti mana yang dilaluinya sebelum ini selepas suami (kedua) mak cik meninggal dunia.
“Kalau boleh, makcik nak tinggal di sini selama-lamanya, sampai ke penghujung usia. Makcik tak mahu pulang lagi ke rumah usang di tanah orang itu lagi. Makcik berserah saja kepada ALLAH SWT, tapi kalau boleh biarlah di sini sampai bila-bila, Insya-Allah,” katanya.
Bagaimanapun katanya, sebelum dia menutup mata dia amat berharap agar dapat menatap wajah anak lelaki tunggalnya itu walaupun dia sendiri tidak mengetahui sama ada anak lelakinya itu masih hidup ataupun sudah meninggal dunia. – SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment