Seorang pelajar tingkatan tiga ditemui mati dalam tali air dengan motosikal yang dinaiki remuk di bahagian hadapan di Kampung Kepala Parit, Simpang Empat..
Mayat Siti Nur Afiqah Abdul Rani, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Wan Mohd Saman ditemui dalam tali air oleh pasukan Bomba dan Penyelamat pada pukul 5.20 pagi selepas orang ramai menemui motosikal remaja itu di bahu jalan.
Mohd Adi Rashid, 24, berkata kemalangan yang menimpa adik perempuan tunggalnya itu diketahui selepas bapanya, Kpl Abdul Rani Seteh, 49, menerima panggilan dari Balai Polis Simpang Empat di sini kira-kira pukul 4 pagi.
Beliau berkata bapanya yang bertugas di Cawangan MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dipanggil ke balai polis Simpang Empat dan polis menyerahkan kad pengenalan Siti Nur Afiqah dan motosikal.
“Ketika itu mayat adik saya belum ditemui. Ayah saya yang tak sedap hati pergi ke lokasi kejadian dan gagal kesan adik kerana keadaan gelap,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Raja, Tandop di sini hari ini.
Mohd Adi berkata ayahnya kemudian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat untuk mengesan mayat adiknya dan ditemui di dasar tali air itu kira-kira pukul 5.20 pagi.
Beliau berkata, motosikal ditunggang adiknya dipercayai terbabas menyebabkan dia tercampak ke dalam tali air dan lemas.
Abdul Rani pula berkata, anak perempuannya itu sepatutnya tidur di rumah rakannya.
“Isteri saya ada beritahu sebelum Siti Nur Afiqah keluar, dia beritahu tidak akan balik lagi…isteri saya ingat dia hanya bergurau (kerana mahu tidur di rumah rakan),” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan yang mengesahkan kejadian itu, berkata mangsa yang menunggang motosikal dipercayai terbabas dan terjatuh ke dalam tali air di kawasan itu. – Bernama
No comments:
Post a Comment