Anumax - HQ

Kedai Emas Sri Harmoni

Dapatkan Mainan Serta Keperluan Kanak2 Pada Harga Borong Di Sini..

Wednesday 31 July 2013

‘Raja klon’ Warga Myanmar Masuk Lokap


Dua lelaki warga Myanmar layak digelar ‘raja klon’ apabila memalsukan pelbagai jenis pasport dan dokumen perjalanan dari pelbagai negara yang 90 peratus hampir menyamai dokumen asal. Dengan menggunakan teknologi canggih yang diubah suai, mereka hanya memerlukan masa kurang dua minit untuk memalsukan dokumen sebelum dijual kepada pendatang asing tanpa izin di negara ini.
Antara dokumen yang dipalsukan ialah, pasport Malaysia dan asing , MyKad, kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) dan lesen memandu.
Bagaimanapun, kerja jahat dua lelaki berusia 30-an sejak setahun lalu itu berakhir apabila berjaya dihidu penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dua bulan lalu, sebelum menyerbu sebuah kondominium mewah di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, jam 1.30 tengah hari, kelmarin.
Pengarah Bahagian Penguatkuasa, Mohd Zamberi Abdul Aziz berkata, hasil siasatan mendapati dua suspek terbabit mampu memperoleh pendapatan antara RM20,000 hingga RM30,000 sebulan.
Beliau berkata, suspek juga menyewa unit kondominium mewah dengan kadar RM3,000 sebulan bagi mengelak kegiatan mereka dikesan, manakala segala urusan dan transaksi dibuat melalui orang tengah.
“Kejayaan ini adalah yang terbesar bagi tahun ini dan kami memandang serius kes ini berikutan kemampuan mereka meniru hampir 90 peratus ciri keselamatan yang ada pada setiap dokumen perjalanan.
“Hasil siasatan mendapati, sindiket ini turut membeli pasport tulen Malaysia, Mykad dan kad UNHCR daripada kumpulan sindiket lain sebelum dipalsukan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Pasport Malaysia dijual dengan harga RM18,000 setiap satu, pasport negara lain (RM250 satu), Visa Malaysia (RM500 satu) dan MyKad (RM300 satu), manakala Kad UNHRCR dijual RM30 setiap satu.
Antara pasport yang dirampas ialah, 10 pasport Malaysia diikuti, Myanmar (57); Bangladesh (21); Indonesia (enam); Thailand (dua) dan India (satu). Turut ditemui 30 Mykad tulen dipercayai baru dibeli sindiket terbabit.
Nilai rampasan bagi kes itu dianggarkan RM234,000.
Mohd Zamberi berkata, pihaknya turut menemui pelbagai dokumen palsu termasuk 93 cop Imigresen Malaysia dan Imigresen Myanmar, 20 keping pelekat visa Malaysia, 61 keping kad UNHCR, pas lawatan kerja sementara (PLKS) serta peralatan memprosesnya seperti kertas stiker keselamatan, mesin pencetak, komputer dan empat telefon bimbit dipercayai milik suspek.
“Kami masih mengesan seorang lagi rakan suspek dipercayai boleh membantu siasatan berhubung kejadian ini.
“Kedua-dua suspek terbabit ditahan di lokap JIM Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63; Seksyen 12(1)(f) Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai khususnya warga asing supaya elakkan daripada berurusan dengan orang tengah dan berhubung terus dengan JIM.

No comments:

Post a Comment