Anumax - HQ

Kedai Emas Sri Harmoni

Dapatkan Mainan Serta Keperluan Kanak2 Pada Harga Borong Di Sini..

Sunday, 22 December 2013

Ayu ’20 Sen’ Dalam Cerita Bujang Lapok Kini Bergelar Nenek

Ayu '20 Sen' Dalam Cerita Bujang Lapok Kini Bergelar Nenek
Sehingga kini, watak Ayu yang mulutnya perlu ‘ditutup’ dengan wang 20 sen agar tidak membuka rahsia percintaan di antara Sudin dan Zaiton di dalam filem Bujang Lapok terus diingati.
SRI RAHAYU SUDARMAJI
Tidak ramai yang mengambil peduli siapa empunya diri, apatah lagi untuk mengetahui nama sebenarnya, tetapi karakter Ayu tetap popular sehingga gambar aksinya meminta 20 sen daripada Zaiton dan Sudin dimuat naik secara meluas di laman sosial sebagai sebahagian daripada jenaka sewaktu kenaikan harga minyak dalam jumlah yang sama baru-baru ini.
Mungkin ramai yang tidak tahu, Ayu yang dahulunya nakal dan sering berseluar pendek tanpa berbaju, kini sudah pun berusia 61 tahun dan sedang menanti kelahiran cucunya yang kelima.
Seperkara lagi yang tidak ramai pihak tahu, pemilik nama Sri Rahayu Sudarmaji itu adalah anak kepada pengarah filem yang mempunyai hubungan cukup rapat dengan P. Ramlee, S. Sudarmaji.
Menceritakan detik bagaimana dia ditawarkan berlakon, Ayu berkata ketika berusia empat tahun setengah, bapanya sebaik sahaja pulang dari studio memberitahu yang P. Ramlee mahu mengambilnya berlakon.
“Disebabkan saya menganggap semua yang bekerja di Jalan Ampas termasuk jurusolek terdiri daripada pak cik dan mak cik kawan bapa, saya tidak takut dan terus memberi persetujuan.
Adegan pertama ketika P. Ramlee membelanja Rokiah dan 10 lagi adik-beradiknya makan. Saya menjadi adik Rokiah dan melompat-lompat di atas meja makan restoran tersebut.
“Hanya selepas itu, rambut saya dipotong pendek seperti lelaki dan kemudian, barulah adegan-adegan lain dilakonkan. Tiada masalah buat saya dengan watak sebegitu kerana sewaktu kecil, saya memang tidak suka berbaju seperti dalam filem itu,” katanya.
Ayu menambah, sewaktu adegan Sudin dan Zaiton berbincang di bawah sampan mengenai perkahwinan mereka, beliau menghadapi kesukaran untuk menuturkan dialog akibat mengantuk.
“Rakaman dijalankan pada pukul 12 malam menyebabkan saya tidak dapat fokus. Setelah berkali-kali gagal, P. Ramlee menghentikan rakaman untuk berehat dan kami minum kopi ‘o’ (Minuman kegemaran P. Ramlee). Apabila habis saja minum kopi, saya terus dapat melakukannya tanpa ada masalah,” katanya.
Bagaimanapun tugas Ayu sebenarnya tidak terhenti di situ. Beliau selepas itu perlu menjalani proses ‘dubbing’ untuk memasukkan suara.
“Saya duduk berdua dengan ayah di bilik rakaman itu. Apabila sampai adegan yang memerlukan saya bersuara, ayah akan menepuk di bahagian belakang badan sebagai isyarat supaya saya bercakap, sama seperti yang dituturkan ketika berlakon,” katanya.
Sementara itu, beliau mengakui tidak ramai daripada kenalannya tahu dirinya adalah Ayu yang cukup menarik perhatian di dalam filem tersebut.
“Bekas rakan sekerja tidak tahu, malah jiran pun sama. Jiran di sebelah rumah ini pun hanya mengetahui tentang perkara itu setelah saya terserempak dengan pelakon drama, Osman Zailani yang selalu datang ke rumahnya pada setiap kali Ramadan,” katanya yang kini menetap di Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment