Afghanistan, sebuah bumi yang tidak pernah kering dilanda perang, konflik dan kekacauan. Dalam sejarah modennya, ia mengalami rampasan kuasa dari sistem monarki hingga republik, perang saudara, kemudian diikuti dengan perang saudara.
Kemudian, diikuti dengan perang melawan Rusia, sehinggalah Taliban dan Amerika, Afghanistan adalah bumi yang tidak pernah sunyi menyaksikan penderitaan manusia dan kemanusiaan.
Begitu juga dunia buku dan sasteranya tidak pernah ketinggalan mengungkap wajah pilu Afghanistan. Sejumlah buku ditulis berlatarkan Afghanistan membanjiri pasaran. Ada diantaranya pernah menjadi buku Best Seller antarabangsa.
Setidak-tidaknya ada tiga buah buku yang menarik perhatian antarabangsa; Kite Runner, My Forbidden Face dan Bookseller of Kabul. Buku-buku tersebut cuba menyingkap apa yang selama ini terjadi di bumi Afghanistan.
Bookseller of Kabul
Bermula dari gejolak sosial, politik, ekonomi mahupun budaya, kecamuk perang yang tidak pernah berkesudahan serta konflik idealogi dan aliran keagamaan yang menyertainya menjadi fokus perhatian rata-rata buku tetang Afghanistan.
Ditulis oleh seorang imigran Amerika keturunan Afghan, Khaled Hosseini, Kite Runner adalah sebuah novel perjalanan ingatan tentang masa lalu, tentang tanah air yang dicintai namun sekaligus diratapi.
Di Amerika, novel ini mendapat sambutan luarbiasa. Selama berbulan-bulan, ia menduduki posisi buku terlaris, dibelakang karya ‘fenomenal’ The Da Vinci Code.
Bgitu juga dengan Bookseller of Kabul, yang ditulis oleh seorang wartawan wanita dari Norway, Asne Seierstad, turut mencapai kejayaan luarbiasa di Eropah dan Amerika.
Sementara My Forbidden Face adalah sebuah memoir seorang gadis remaja enam belas tahun yang sangat menyentuh hati kerana berisi kesaksian atas apa yang terjadi di Afghanistan sejak Taliban mula berkuasa. Potret mengerikan kekuasaan Taliban terakam di dalam novel tersebut yang ditulis oleh Latifa.
Kite Runner berkisah tentang Amir, seorang novelis keturunan Afghan yang menetap di Amerika sejak 1980-an dan cukup bahagia dengan kehidupannya.
Suatu hari dia menerima panggilan telefon yang memaksanya untuk pergi ke Pakistan. Bermulalah sebuah perjalanan yang pada tujuan asalnya ke Pakistan akhirnya membawa ke Afghanistan, negeri yang sudah lama ditinggalkannya, ke masa lalu yang ingin dilupakannya.
Orang-orang dan tempat-tempat yang sudah lama lenyap dari kehidupannya, hadir kembali baik dalam pertemuan mahupun ingatan: Rahim Khan, Hassan, Ali, Afghanistan, Kabul.
Afghanistan adalah sebuah negara yang dihuni oleh pelbagai suku etnik yang sedang ‘menghidap’ masalah sosial dan sosiobudaya yang pelik, diskriminasi ras, konflik suku dan aliran.
Hal ini ditampilkan oleh Khaled Hosseini dengan jelas sekali dalam novelnya, Pasthun sebagai suku etnik terbesar ‘menghidap’ kebencian dan memandang rendah suku lainnya.
Itulah yang membuat Amir dari suku Pashtun dan Hassan dari suku Hazara, sewaktu kecil tinggal di bangunan yang berbeza meskipun dirumah yang sama.
Assef, anak seorang keluarga ternama Pashtun menganggap suku Hazara tidak ubah seperti sampah.
“Afghanistan adalah negeri milik bangsa Pashtun. Dari dulu begitu dan akan selalu begitu. Kita adalah orang-orang Afghan sejati,” kata Assef sambil menunjuk pada Hassan.“Kaumnya mengotori tanah air kita. Mereka mengotori darah kita,” tambah Assef lagi.
Konflik suku dan aliran itu berlangsung seiring dengan konflik politik dan senjata yang tidak ada hujung pangkalnya.
Manakala Saudagar Buku dari Kabul (terjemahan daripada buku Bookseller of Kabul) juga memaparkan kisah yang tidak jauh beza dalam Kite Runner.
Cuma dunia buku menjadi nadi kehidupan Sultan Khan, seorang pedagang buku dan toko bukunya yang benar-benar mewakili sejarah panjang Afghanistan dari semasa ke semasa.
Ia merakam apa yang terjadi ketika monarki, republik, pendudukan Rusia, perang saudara hingga Taliban dan era sesudahnya. Selama dua puluh tahun lebih, Sultan Khan ‘melawan’ kerajaan untuk menyelamatkan bisnes bukunya, tidak peduli jika ditangkap, disoal siasat, masuk penjara atau menyaksikan askar Afghan yang buta huruf membakar buku-bukunya di sepanjang jalan di Kabul.
Sebanyak buku-buku yang dijualnya, demikian pula ragam kisah keluarga Sultan Khan: – kisah-kisah yang lucu, pedih yang menyentuh hati.
Lamaran kepada calon isteri keduanya yang di luar kelayakan, misalnya atau, gadis pengemis yang terpaksa menjual ‘kesuciannya’ kepada seorang peniaga toko buku demi beberapa lembaran wang atau, rancangan pembangunan pelancongan ski antarabangsa tahun 1967 yang tidak pernah kesampaian melakarkan wajah pilu Afghanistan yang memang telah lama tersodot di medan pertempuran suku-suku (Pashtun, Tajik, Hazara dan lain-lainnya), aliran keagamaan (Sunni-Syiah), idealogi politik dan kekuasaan sayap kiri radikal yang pernah berkuasa.
Akan tetapi potret ‘muram’ Afghanistan yang mengerikan ditampilkan dalam buku My Forbidden Face. Berdasarkan catatan seorang gadis remaja dari kelas menengah yang berfikiran terbuka, Afghanistan tampil tak ubah seperti ‘neraka’ dunia.
Tidak ada orang yang benar-benar ingin tinggal di sana. Meskipun dilanda pelbagai masalah, penduduk Kabul masih mempunyai sedikit kebebasan, namun, kesemua itu hilang sama sekali apabila Taliban berkuasa dan tentu yang parahnya adalah kaum wanita.
Mereka tidak mampu lagi bersekolah, bekerja apatah lagi bermain. Hidup menjadi penjara yang menyeksakan. Itulah yang terjadi kepada gadis remaja bernama Latifa. Ia kehilangan sama sekali kehidupan remajanya iaitu mendengar muzik, menonton wayang, kerana kesemua itu diharamkan.
Sesungguhnya novel-novel tersebut bukan sekadar potret unik tentang seseorang atau sebuah keluarga. Ia juga sebuah potret getir Afghanistan, sebuah negara yang secara tragis terus-menerus dilimpahi konflik.
No comments:
Post a Comment