Kalau dulu, masa waktu belajar kat universiti, bila sampai bilik jek, mesti tidur dulu sebelum zuhur, sebab nak kembalikan tenaga. Bila dah tidur lam setengah jam, dah segar, bertenaga je ke kelas petangkan. Nak tahu apakah kelebihan tidur siang nih?? jom kita baca..
Tidur di waktu siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam pula menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan tidak berlebih-lebihan dengannya. Di dalam kitab “Misykatul Masabih” disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi:
“Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah ada melakukannya.”
Imam Al Ghazali di dalam kitab “Ihya Ulumuddin” telah berkata:“Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum tergelincir matahari untuk solat zohor.”
Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur pada waktu tengahari. Ia dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai suatu yang keji. Tidurnya hanya sekejap. Tujuannya adalah untuk kesegaran tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amal dan ibadah yang berkualiti.
Berpandukan kajian-kajian saintifik, tidur sekejap di waktu siang (day napping), terutamanya pada waktu tengahari, didapati amat berkesan untuk mempertingkatkan tenaga, tumpuan dan akhirnya produktiviti pekerja-pekerja.
Satu kajian 25 tahun tentang kesan tidur ke atas negara-negara industri dan pasca-industri telah mendapati bahawa “92.5% pekerja-pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengahari, mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan mereka untuk menyelesaikan masalah juga meningkat. Semua ini pastinya meningkatkan produktiviti.” (Napping News:’Scientific Proof Confirms: Napping Enhances WorkerProductivity,’ from eFuse)
Waktu tengahari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan kita memang bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu itu. Fasa ini disebutkan sebagai ‘a midafternoon quiescent phase’ atau ‘a secondary sleep gate’. Di antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur tengahari ini ialah Dr. William A. Anthony, Ph.D. dan Camille W. Anthony, pengarang buku ‘The Art of Napping at Work.’
Demikian juga yang disebutkan oleh David F. Dinges dan Roger J. Broughton di dalam buku mereka ‘Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping.’ Dr. James Maas, pakar tidur dari Cornell University juga telah merumuskan bahawa tidur di waktu tengahari sekadar 15-20 minit sudah mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan.
Seorang pengkaji yang lain, Donald Greeley, telah mengatakan bahawa tidur tengahari adalah bermanfaat selama mana ianya tidak melebihi satu jam. (Gail Benchener: ‘Parents and Sleep Deprivation,’ Family.com).
Sunnah tidur tengahari yang diajarkan Nabi rupa-rupanya merupakan suatu yang amat saintifik lagi relevan pada hari ini. (Laporan saintifik tentang kelebihan tidur tengahari ke atas produktiviti berdasarkan kajian 25 tahun).
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment