Seorang bapa sanggup mengelar leher anaknya sendiri hingga maut dan mencederakan anak-anaknya yang lain. Mungkin ada cerita di sebalik kisah ini. Ikuti laporan penuh yang dipetik dari BERNAMA.
BANGI – Seorang lelaki mengelar hingga mati anak perempuannya yang berusia tujuh tahun dan mencederakan dua lagi anak perempuannya di rumah mereka di Seksyen 4 Bandar Baru Bangi di sini, petang tadi.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abd Rahim Jaafar berkata dalam kejadian 4.15 petang itu, lelaki berkenaan mencederakan anak-anak perempuannya yang berusia 10 dan 12 tahun di tengkuk dan tangan hingga menyebabkan seorang daripadanya putus jari.
“Polis masih lagi mencari jari itu di dalam rumah suspek,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Beliau berkata seorang lagi anak perempuannya yang berumur 15 tahun dan anak lelakinya yang berusia 17 tahun dapat menyelamatkan diri daripada bapa mereka, yang bersenjatakan sebilah parang dalam kejadian itu.
Menurutnya anak perempuannya berusia 15 tahun itu, yang baru pulang dari sekolah menengah agama, terkejut apabila melihat bapanya sedang berdiri dengan memegang sebilah parang di dalam rumah teres dua tingkat itu.
“Budak perempuan itu melihat ada kesan darah di ruang tamu dan mendapati adik-adiknya cedera. Dia terus menjerit dan memanggil abangnya yang berada di tingkat atas.
“Abangnya meluru keluar dari bilik dan melihat keadaan di tingkat bawah lalu meminta adiknya itu segera berlari ke tingkat atas dan bersembunyi di dalam bilik sebelum dia menghubungi polis,” katanya.
Abd Rahim berkata ketika tiba, polis mendapati dua anaknya yang cedera berada di ruang tamu dan segera membawa mereka ke Hospital Kajang dekat sini untuk rawatan.
Polis menjumpai mayat anak perempuannya yang dikelar di leher, di bilik tingkat bawah rumah itu
“Mayatnya dihantar ke Hospital Kajang untuk dibedah siasat,” katanya.
Menurutnya semasa kejadian itu, ibu mangsa berada di tempat kerjanya di Cyberjaya.
Susulan kejadian itu, polis mencari lelaki berusia 44 tahun itu dan menemuinya di tebing sungai di belakang kawasan perumahan itu kira-kira 6 petang.
“Suspek dijumpai dalam keadaan murung, basah dan cedera di kepalanya. Polis percaya suspek telah terjun ke dalam sungai tetapi naik ke tebing kemudian,” katanya.
Abd Rahim berkata polis turut merampas sebilah parang daripada lelaki itu.
Lelaki itu yang menganggur sejak dua tahun lepas, tidak mempunyai rekod jenayah dan mungkin mengalami masalah mental, katanya.
Sementara itu, seorang jiran keluarga itu, yang enggan dikenali, berkata ibu mangsa kini berada di Hospital Kajang bagi menemani anak-anaknya yang cedera.
Wanita itu berkata keluarga mangsa sangat dihormati oleh jiran-jirannya kerana mereka sekeluarga rajin solat berjemaah di surau kawasan perumahan itu. – Bernama
No comments:
Post a Comment