Anumax - HQ

Kedai Emas Sri Harmoni

Dapatkan Mainan Serta Keperluan Kanak2 Pada Harga Borong Di Sini..

Sunday 25 August 2013

Budak 3 Tahun Patah Gigi Jatuh Di Taska


Kesal dan sedih. Itulah perasaan ibu bapa seorang kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun yang cedera selepas didakwa terjatuh ketika sedang bermain di sebuah taska di kawasan Dun Pengkalan Berangan, di Marang.
Kejadian itu juga menyebabkan mangsa, Muhammad Danish Irfan patah gusi dan gigi serta mengalami luka di bahagian bibir serta lebam di dagu selepas didakwa terjatuh ketika berada di taska terbabit.
Bapanya, Rozi Che Leh, 39, berkata, dia hanya mengetahui kejadian menimpa anak sulungnya itu selepas menerima panggilan daripada pihak taska memaklumkan anaknya mengalami kecederaan selepas terjatuh ketika bermain.
Menurutnya, selepas menerima panggilan telefon kira-kira jam 10 pagi, Khamis lalu, dia kemudiannya segera ke taska berkenaan dan mendapati anaknya mengalami kecederaan yang teruk di bahagian mulut.
“Selepas diperiksa, saya dapati gigi dan gusi anak saya patah. Dia juga mengalami luka kecil pada bahagian mulut dan dagunya lebam.
“Saya segera membawanya ke hospital di Kuala Berang untuk rawatan dan diarahkan untuk dirujuk kepada pakar bedah mulut di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu,” katanya, semalam.
Rozi berkata, selepas membuat pemeriksaan di HSNZ, anaknya ditempatkan di wad untuk menjalani pembedahan bagi membetulkan semula kedudukan gusi yang patah dan dibenarkan keluar dari hospital, semalam.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan anaknya tidak dapat makan dan minum kerana mengalami kesakitan apabila membuka mulut.
“Kami sedih kerana anak terpaksa menahan kesakitan, malah perlu menjalani pembedahan apabila gigi dan gusinya patah.
“Kami juga kesal kerana kejadian berlaku ketika dia masih dalam pengawasan guru taskanya,” kata yang membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Payung.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
Menurutnya lagi, pihak taska terbabit juga telah membuat permohonan maaf berikutan kejadian tersebut.

No comments:

Post a Comment