Anumax - HQ

Kedai Emas Sri Harmoni

Dapatkan Mainan Serta Keperluan Kanak2 Pada Harga Borong Di Sini..

Thursday 29 August 2013

Nenek 110 Tahun Dedah Rahsia Panjang Umur


Berjalan kaki dari usia anak dara sehingga berumur ratusan tahun merupakan rahsia umur panjang seorang warga emas, Bedah Mamat, 110, yang berasal dari Kursial, Tanah Merah.
Bedah yang bergelar ibu tunggal pada usia 30 tahun berkata, semasa mudanya berbagai kerja yang dilakukan bagi menyara tiga orang anaknya yang sedang membesar pada waktu itu.
“Makcik tidak pandai kayuh basikal atau tunggang motosikal, jadi setiap kali hendak ke mana-mana atau bekerja makcik hanya berjalan kaki.
“Antara kerja yang makcik lakukan ialah mengambil upah menoreh getah dan memikul karung beras untuk dibawa ke jeti di sungai dengan bayaran 30 sen bagi satu karung,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Warga Emas yang dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Rumah Seri Kenangan, di Kota Bharu.
Bedah yang ditemani anak bongsunya, Roziah Jaafar, 53, hadir ke majlis tersebut untuk menerima anugerah warga emas dengan membawa pulang wang tunai dan sijil.
Menurutnya, dia perlu bekerja keras kerana tidak mempunyai pilihan demi mencari sesuap nasi dan mengimbau kembali kehidupannya, setiap hari hanya nasi bercampur pisang yang dimakan sekali sehari sebagai penggalas perut.
Dia yang masih boleh berjalan serta mempunyai penglihatan dan pendengaran yang masih baik berkata, dengan kudrat yang ada dia bekerja sehingga umurnya 92 tahun dan berhenti apabila sudah tidak larat lagi untuk berjalan kaki keluar mengambil upah menoreh getah.
“Bukan makcik tidak mahu menumpang anak-anak tetapi makcik sudah biasa bekerja kuat jadi selagi boleh berjalan makcik keluar menoreh,” katanya.
Bedah kini dijaga oleh Roziah dan menerima bantuan JKM sebanyak RM300 sebulan itu juga hidup sihat tanpa sebarang penyakit yang biasa dihidapi oleh warga emas sepertinya.
Dia yang bersyukur dengan anugerah tersebut berkata, tiada amalan atau pantang larang yang diamalkan olehnya untuk sihat sehingga sekarang kerana setiap hari dia mengambil nasi seperti biasa dan makan apa sahaja.
Bedah yang mempunyai 12 cucu dan 16 cicit itu berharap umur panjang yang diberikan kepadanya itu dapat digunakan untuk memperbanyakkan lagi amalan agama.

No comments:

Post a Comment