Seorang wanita maut manakala suaminya cedera apabila kereta Toyota Vios dipandu lelaki berkenaan merempuh penghadang jalan sebelum terjunam ke Sungai Pandan di Kilometer 9.5 Jalan Johor Bahru — Kota Tinggi semalam.
Dalam kejadian jam 7 pagi, kereta itu dipercayai dipandu laju sebelum pemandunya disyaki gagal mengawal kenderaan apabila tiba di lokasi sebelum terjunam ke sungai.
Pemandu terbabit berjaya memanjat kereta dan menjerit meminta bantuan, menyebabkan beberapa pemancing di kawasan berhampiran cuba menyelamatkan isterinya. Bagaimanapun, orang ramai gagal menyelamatkan isterinya yang tenggelam bersama kereta sebelum menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan.
Difahamkan, pemandu berkenaan, Tan Lay Choon, 49, warga Singapura terselamat dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala isterinya, Pan Sua Yean, 45, berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, meninggal dunia di lokasi.
Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, kereta berkenaan dari Kota Tinggi dan dalam perjalanan ke Singapura.
Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat berkata, unit menyelam pasukan berkenaan mengambil masa sejam bagi mengeluarkan mayat Sua Yean yang terperangkap di dalam kereta sebelum dihantar ke HSI untuk bedah siasat.
No comments:
Post a Comment