Anumax - HQ

Kedai Emas Sri Harmoni

Dapatkan Mainan Serta Keperluan Kanak2 Pada Harga Borong Di Sini..

Thursday 26 September 2013

Anak gadis hampiri zina, ibu kecewa dan malu...


"Perkara ini bukan saja memalukan saya dan suami tetapi ia perkara paling mengaibkan dalam hidup saya. Jika hal ini berulang, saya sendiri yang hantar dia ke pusat pemulihan akhlak," kata ibu kepada remaja perempuan berusia 18 tahun yang didakwa di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam selepas ditahan bersama kekasihnya dalam keadaan mengaibkan pada Jun lalu.

Wanita berusia 40-an itu berkata demikian ketika Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail memanggil dia dan suami bagi mendengar rayuan terhadap kes anak gadis mereka. Terdahulu, tertuduh yang juga anak ketiga daripada lima beradik dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman dengan alasan sudah insaf dan bertaubat atas kesalahan dilakukan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang masih belajar di sebuah kolej didakwa melakukan satu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah dengan seorang lelaki berusia 20 tahun yang bukan suaminya dalam sebuah kereta di kawasan Taman Awam Pulau Warisan di sini, kira-kira jam 6.50 petang, 5 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu perbuatan sebagai persediaan melakukan persetubuhan luar nikah.

Kamalruazmi dalam penghakimannya berkata, apa yang dilakukan tertuduh dan pasangannya adalah kesalahan serius dan berdosa.

"Kamu sepatutnya bersyukur dan berterima kasih kerana ditahan pegawai penguat kuasa syariah. Jika tidak, mungkin kamu berdua sudah terlanjur dan kejadian lebih buruk akan berlaku. Ini masanya untuk kamu berubah dan saya harap kamu benar-benar bertaubat," katanya.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM2,000 dengan dua penjamin.

Sementara itu, pasangannya berusia 20 tahun dari Marang yang memohon mahkamah menangguhkan hukuman terhadapnya dibebaskan dengan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin.

No comments:

Post a Comment