Anumax - HQ

Kedai Emas Sri Harmoni

Dapatkan Mainan Serta Keperluan Kanak2 Pada Harga Borong Di Sini..

Wednesday 2 October 2013

Obama Tangguh Lawatan Ke Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama menangguhkan lawatannya ke Malaysia pada bulan ini berikutan krisis penutupan sebahagian operasi pentadbiran di negara itu.
Najib yang menerima panggilan daripada Obama pagi tadi, berkata beliau memahami masalah yang dihadapi oleh Obama yang berdepan dengan permasalahan dalaman negara dan cabaran beliau untuk menaikkan had maksimum hutang negara pada 17 Oktober ini.

“Namun demikian, Obama menyatakan beliau tetap berhasrat melawat Malaysia pada satu tarikh yang akan kita tentukan.
“Saya telah menyatakan bahawa saya faham keadaan domestik di AS yang tidak mengizinkan beliau melakukan lawatan dan sekiranya beliau membuat lawatan ke Malaysia sudah tentu akan dipertikaikan oleh masyarakat di sana,” kata Perdana Menteri pada sidang media selepas melancarkan pembinaan Hangar Kedua Pusat Penyelenggaraan dan Baikpulih (MRO) Pesawat Airbus Serantau dan Kemudahan Perkhidmatan Pelanggan Airbus di sini hari ini.
Najib berkata Obama turut menyatakan bahawa beliau tetap komited untuk membuat lawatan ke Malaysia.
“Beliau (Obama) menghargai peranan yang dimainkan oleh Malaysia dan juga hubungan dua hala Malaysia dan Amerika Syarikat,” kata Najib.
Presiden AS itu dijadualkan menghadiri Sidang Kemuncak Keusahawanan Global Keempat (GES) 2013 di Kuala Lumpur pada 11 Oktober. Ia akan menjadi lawatan pertamanya ke Malaysia.
Pejabat Pengurusan dan Belanjawan White House semalam mengarahkan sebahagian agensi kerajaan AS ditutup selepas Kongres gagal meluluskan satu belanjawan persekutuan khas bagi mengelak kegagalan fungsi kerajaan, kali pertama seumpamanya dalam tempoh 17 tahun.
Najib berkata Obama turut memaklumkan bahawa lawatan beliau akan diwakili oleh Setiausaha Negara AS John Kerry, Setiausaha Perdagangan Penny Pritzker dan wakil perdadangan AS Michael Froman.
“Ia merupakan suatu yang tidak dijangka dan diduga (mengenai krisis) … saya bersimpati dan faham, sekiranya saya berada dalam situasi yang sama, saya akan melakukan perkara yang serupa, dengan krisis penting dalam negara yang sudah tentu menjadi sangat sukar bagi Presiden AS meninggalkan negaranya.
Semasa ditanya mengenai krisis berkenaan yang mungkin menjejaskan ekonomi Malaysia, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, dalam jangka segera, perkara itu tidak akan memberi kesan.
“Tetapi kita tidak tahu selama mana penutupan itu akan berterusan.
“Kesan yang paling serius adalah pada 17 Okt apabila mereka tidak mengkaji semula had maksimum hutang, yang bermakna akan membawa akibat yang serius kepada ekonomi AS dan dengan kelembapan dan kemelesetan yang teruk, ia tentunya akan mempengaruhi pertumbuhan global dan akan menjejaskan juga Malaysia.
“Masih terlalu awal untuk menyatakan. Kami akan memantau keadaan dengan teliti,” kata beliau.
Semasa ditanya mengenai sama ada Malaysia akan meneruskan rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) setelah AS sebagai negara tuan rumah berdepan dengan krisis, Najib berkata: “ia suatu yang berbeza daripada krisis semasa di AS yang tertakluk kepada proses dalaman. Ia tiada kaitan dengan TPPA “.

No comments:

Post a Comment