Kisah benar ini sebagai peringatan buat kaum wanita jangan sampai anda menjadi mangsa penipuan ingatlah tiada kekuata selain Allah mohonlah kepadanya insyallah segala-galanya boleh diselesaikan dengan kehendaknya.
ikuti kisah wanita yang ditipu bomoh temberang Saya juga seperti Puteri Hayati yang berubat dengan orang yang dikatakan pandai ilmu makrifat tapi akhirnya saya ditipu. Saya bukan sahaja ditipu wang ringgit malah diri saya juga hampir dicabul!
Sebelum itu biar saya ceritakan punca sebenar saya boleh berjumpa dengan bomoh-bomoh penipu ini. Untuk pengetahuan saudara pengarang, saya berjumpa dengan dua orang bomoh di mana bomoh pertama menipu saya dari segi wang ringgit dan bomoh kedua menipu saya dengan hampir mencabul saya.
Saya sebenarnya seorang kakitangan kerajaan dan bekerja di Johor Bahru bermula dari tahun 1999. Saya berjumpa dengan bomoh-bomoh ini kerana saya telah ditipu wang ringgit sebanyak RMWO ribu oleh bekas teman lelaki saya. Untuk membalas dendam terhadap bekas teman lelaki saya ini, saya telah berjumpa dengan bomoh-bomoh penipu ini.
Bomoh pertama biarlah saya namakan dengan ‘Atuk Wan’saja. Sebelum berjumpa dengannya, dia minta saya bawakan gambar bekas teman lelaki saya. Saya pun bawalah gambar tersebut.
Lepas jampi serapah lebih kurang, dia katakan pada saya suruh bawa barang kemas untuk dia leburkan jadi buah rantai untuk dijadikan tangkal. Dia cakap barang kemas tu biarlah barang kemas yang saya pakai di badan ketika itu.Tanpa berlengah, saya pun serahkan dua bentuk cincin, gelang kaki dan gelang tangan pada Atuk Wan yang saya kira berjumlah lebih RM10 ribu. Tapi nak dapatkan RM100 ribu punya pasal, saya korbankan juga barang-barang kemas saya untuk dilebur oleh Atuk Wan.
Esoknya saya datang lagi ke rumah beliau dan Atuk Wan dah leburkan barang-barang kemas saya dan jadikan buah rantai yang hanya sebesar biji kopi. Masa tu saya pelik. Saya bagi dia cincin emas saya dua bentuk, gelang kaki, gelang tangan tapi takkan dah lebur jadi emas sebesar biji kopi jer? Tapi RM100 ribu punya pasal, saya turutkan saja.
Selepas Atuk Wan beri loket tu, dia suruh saya mandi bunga. Saya pun mandi tapi dimandikan oleh isterinya yang saya panggil Nek Yah. Selepas mandi, Nek Yah suruh saya kutip cebisan-cebisan bunga yang jatuh semasa saya dimandikan tadi lepas tu dibalut dengan kain kuning. Atuk Wan cakap kain kuning ni kena tanam sebelah kubur orang mati
dibunuh malam Selasa pukul 1.00 pagi seorang diri. Saya cakap saya tak sanggup dan tak berani buat, jadi Atuk Wan cakap dia boleh buat tapi kena bayar upah padanya. Saya terus bayar upahnya sebanyak RM75 dan urusan tanam tu selesai pada malam esoknya.
Selang beberapa hari selepas itu, Atuk Wan memanggil saya kononnya dia nampak bayangan yang saya akan dapat semula RM100 ribu itu dalam masa terdekat. Tapi dakwanya dia tak nampak sangat sebab kononnya bayangan yang dia nampak hanya separuh. Jadi untuk ‘mencerahkan’ lagi bayangannya itu, Atuk Wan suruh saya carl 700 batang bulu landak dan 700 keping kulit tenggiling.
Saya tanya balik pada Atuk Wan, manalah saya nak cari benda-benda tu semua? Dia cakap yang itu biar dia usahakan tapi setiap bulu landak dan setiap keping kulit tenggiling tu berharga RM5. Jadi saya terpaksa keluarkan RM7,000 untuk Atuk Wan beli semua itu.
Selepas itu Atuk Wan suruh saya berehat di rumah selama seminggu sebab katanya selepas seminggu tu akan ada petanda baik dan saya akan dapat balik RM100 ribu saya.
Waktu seminggu dah berlalu. Atuk Wan pun call saya suruh datang ke rumahnya. Dia cakap RM100 ribu itu dia dah nampak tapi nak bagi Nampak betul betul bila tarikh dapat balik duit itu dia cakap saya kena lalui satu lagi sesi perubatan. Katanya muka saya tak ada seri, sebab tu duit RM100 tu tak Nampak. Dia suruh saya pakai susuk berlian sebanyak tujuh biji yang setiap satunya berharga RM700 untuk sebiji.
Saya tanya pada Atuk Wan kenapa mahal sangat sedangkan butir berliannya pun macam butir pasir berwarna putih tak berkilat pun. Dakwa Atuk Wan dia dapat berlian ini dari alam ghaib sebab tu berlian ni mahal. Percaya punya pasal saya biarkan saja dia letakkan berlian tu dalam muka saya tapi entahlah, dia letak ke tidak saya pun tak tahu sebab setahu saya pakai susuk ini banyak pantang.
Tapi susuk yang ini dia kata tak ada pantang, saya boleh tengok cermin, saya boleh lalu bawah ampaian dan saya boleh makan apa saja. Seperti biasa saya keluarkan duit sebanyak RM4,900 untuk berlian susuk tu.
Minggu berganti bulan, saya tengok tak ada apa-apa perubahan dan Atuk Wan cakap duit saya tu tak boleh dapat balik. Macam tu pulak dah. Dia cakap kalau nak juga, ada cara lain iaitu saya kena pakai tangkal dari alam ghaib yang berharga RM3,000. Dakwa Atuk Wan yang ni kalau saya pakai confirm RM100 ribu saya tu akan dapat semula.
Saya termenung malam itu di atas katil. Saya dah mula rasa macam ditipu. Tapi saya pelik ramai dah orang berubat dengan dia tapi kenapa Atuk Wan sanggup buat macam tu?
Saya dah mula rasa yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. RM100 ribu saya yang hilang tu tak dapat, takut saya pula hilang lagi RM100 ribu untuk bomoh penipu ni. Saya dah melabur untuk bomoh ni hampir RM20 ribu tapi satu apa pun tak berhasil.
Akhirnya, saya cakap pada Atuk Wan saya tak nak berubat lagi dengannya dengan alasan saya nak pindah ke negeri lain bekerja. Tapi Atuk Wan cakap saya tak boleh putus ubat nanti buruk akibatnya. Saya cakap saya tak kisah dah sebab yang tentukan nasib saya bukan dia tapi Allah s.w.t.
Keluar mulut harimau, masuk mulut buaya…
SELEPAS itu saya pergi pula ke sebuah pusat perubatan alternatif di pusat bandar raya Johor Bahru. Orang yang handle pusat ni saya panggil dia tuan dan di dinding pusat rawatannya saya nampak terpampang sijil-sijil ilmu makrifat yang ditauliahkan kepadanya.
Ini menguatkan lagi keyakinan saya nak berubat dengan tuan ni sebab dia mengamalkan perubatan Islam. Saya ceritakan kepada tuan ni masalah saya ditipu oleh bekas teman lelaki saya.
Tuan ini suruh saya bawa nasi sebekas dan apa saja lauk berkuah. Saya pun bawalah nasi dan lauk tu sebab saya fikir mungkin ni upah tuan untuk mengubati saya, upahnya makan tengah hari. Rupa-rupanya nasi dan lauk berkuah tu bukan untuk dia tapi untuk saya bagi makan kepada bekas teman lelaki saya.
Dakwanya saya kena letakkan cecair dari kemaluan saya, letak dalam makanan tersebut dan bagi bekas teman lelaki saya makan. Confirm dia akan melutut depan saya dan pulangkan balik duit saya.
Saya katakan pada tuan itu, saya tak sanggup buat macam tu pada bekas teman lelaki saya walaupun dia menipu saya tapi saya tak tergamak nak bagi dia makan kotoran dari kemaluan saya.
Tuan ni cakap kalau tak nak ada cara lain. Dia suruh saya masuk ke biliknya. Saya pun masuk dan dia suruh saya berbaring. Dia cakap dia nak buat ‘wafak’ pada badan saya. Disebabkan percaya padanya 100 peratus, saya pun berbaring dan dia mula memegang perut saya. Mulanya saya tak hiraukan sangat sebab mungkin dia nak ubatkan saya melalui perut agaknya.
Tiba-tiba tangannya terus menyeluk ke dalam seluar dalam saya dan saya terus tersentak dan terus bangun. Saya tanya kenapa perlu seluk sampai ke bawah? Dakwanya dia nak buat ‘wafak’pada saya.
Saya dah mula rasa tak sedap hati, saya bangun dan saya katakan saya nak balik, saya tak nak berubat dengan dia. Tuan tu cakap, dia minta maaf sebab dia nak cari point nak buat ‘wafak’ pada saya.
Lepas tu dia cakap kalau buat ‘wafak’ nanti bukan sahaja duit RM100 ribu saya dapat, saya akan dapat lebih banyak lagi kekayaan yang tak terhingga tapi dengan syarat saya kena bersetubuh dengannya sebab dia akan ‘wafak’kan saya secara batin.
Selepas itu saya terus balik dan bagi tau pada kawan saya. Kawan saya cakap tak sangka nama saja di sebalik perubatan Islam itu rupa-rupanya ada syaitan bertopengkan manusia. Saya tak tahulah sama ada pusat ini masih lagi wujud di bandar raya Johor Bahru.
Saya juga tak tahulah sama ada sijil-sijil ilmu makrifat yang ada di dinding pusat itu tulen atau palsu. Saya nak repot polis tapi kawan saya kata kena ada bukti. Walaupun pusat itu sudah beroperasi agak lama tapi tak ada pula kes-kes seumpama saya ini dilaporkan.
Pesan saya pada semua wanita di luar sana, berhati-hatilah dengan bomoh-bomoh temberang seperti ini. Kadang-kadang ada penipu-penipu ini yang berlindung di sebalik nama pusat perubatan Islam tapi hakikatnya mereka tak mengamalkan langsung perubatan-perubatan Islam mereka. Kononnya ada ilmu makrifat tapi banyak yang amalkan ilmu khurafat.
Selepas kejadian tersebut, saya dapat bertukar kerja ke negeri Perak dan saya berjumpa dengan Pak Long saya yang juga seorang bomoh untuk membuang susuk yang kononnya ada di muka saya ini.
Tapi Pak Long saya seorang bomoh yang tidak pernah minta upah dan mengamalkan surah-surah al-Quran di dalam pengubatannya. Pak Long saya cakap tak ada sebutir pun susuk di muka saya ini dan loket sebesar biji kopi yang dulu kononnya telah dileburkan dari barang-barang kemas saya rupa-rupanya bukan emas sebenar.
Nampak sangatlah saya ditipu oleh bomoh Atuk Wan tersebut. Saya bertanya pada Pak Long tentang duit RM100 ribu yang ditipu oleh bekas teman lelaki saya. Pak Long saya cakap dia hanya boleh mengubati orang sakit, buang susuk dan buang sihir.
Tapi untuk menganiaya orang, bukan cara pengubatannya. Nasihat Pak Long, dia suruh saya balik sembahyang hajat sebab semuanya datang dari Allah. Kalau rezeki, saya akan dapat semula RM100 ribu itu, tapi kalau tak dapat, buatlah macam mana sekali pun, ia tidak ke mana. Anggaplah itu semua bukan rezeki saya. Tetapi Pak Long saya berpesan, setiap kejadian ada hikmah di sebaliknya.
Pak Long saya meninggal setahun selepas kejadian itu dan memang betul, setiap kejadian ada hikmah yang Allah kurniakan. Saya hilang RM100 ribu tapi Allah kurniakan saya suami, anak-anak, keluarga dan kehidupan yang tak ternilai harganya…
p/s : Semoga menjadi ikhtibar kepada wanita dan diharap berhati-hati jika ingin mendapatkan khidmat perubatan Islam. Jangan sampai ada yang tertipu.
No comments:
Post a Comment