Pemusnah negara ini tiada faedah langsung selain menghabiskan duit dan merosakkan tubuh badan. Sungguh Teacher Muja kecewa apabila ramai yang masih tak hentikan tabiat ini walaupun ulama’ sudah mengharamkan perbuatan ini.
Kajian menunjukkan bahawa remaja yang menghisap ganja setiap hari akan merosakkan struktur otak dan menyusutkan memori mereka. Hasil kajian tersebut membuktikan remaja yang menghisapnya secara aktif memberikan hasil yang lebih teruk dalam ujian memori walaupun mereka tidak pernah menyentuh dadah selama 2 tahun.
Bahagian otak yang berkaitan dengan memori didapati mengecut dan musnah dalam ramai anak muda, berdasarkan kajian oleh Universiti Northwestern di Illinois, US. Kajian tersebut melibatkan 44 orang manusia sihat yang tidak menggunakan ganja pada usia 20-an dan membandingkannya dengan keputusan kajian yang dijalankan ke atas 10 orang remaja yang pernah menggunakan ganja.
Selain mereka, 15 orang lagi yang diuji mempunyai sejarah penggunaan ganja dan schizophrenia dan 28 orang lagi pernah mengalami schizophrenia tetapi tiada sejarah menggunakan marijuana. Sangat mengejutkan apabila didapati mereka yang ada atau tiada schizophrenia, tetapi pernah merokok dengan kerap di masa lampau, menunjukkan keadaan otak yang tidak normal.
Para pengkaji mendapati semakin muda manusia tersebut semasa mereka memulakan tabiat merokok, semakin teruk ketidaknormalan otak mereka. Namun begitu, mereka tetap menyatakan yang ada kemungkinan bahawa struktur otak itu sudah rosak sebelum mereka mula merokok, tetapi aktiviti merokok tetap memberikan kesan pada otak.
Ketua penulis kajian, Matthew Smith berkata,” Kajian ini mengaitkan penggunaan marijuana yang kronik dengan otak yang tidak normal yang akan kekal sekurang-kurang beberapa tahun selepas seseorang itu berhenti menggunakannya.” Beliau menambah lagi,”Dengan adanya pergerakan untuk tidak lagi mengharamkan marijuana, kita perlu lebih kajian untuk memahami kesannya pada otak.”
Berdasarkan kajian tersebut, dalam 15 perokok marijuana yang menghidapi schizophrenia dalam kajian itu, 90 peratus mula menghisap dadah tersebut sebelum mereka mengalami kecacatan tersebut.
Semoga artikel ini berjaya menyedarkan mereka yang masih bergelumang dengan segala jenis dadah termasuklah ‘dadah halal’ iaitu rokok, untuk memberhentikan perbuatan tidak berfaedah ini. Amiin.
No comments:
Post a Comment