Cuaca sejuk terus melanda Malaysia apabila pemeriksaan di Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan semua daerah di Malaysia mencatat bacaan di bawah suhu bilik.
Suhu bilik biasanya merujuk pada 24 darjah Celsius. Malah di Malaysia yang agak panas, inilah suhu yang dianggap paling selesa untuk dilaraskan pada pendingin hawa.
Jadi bayangkanlah apabila suhu lebih rendah daripada pendingin hawa! Tak peliklah kalau ada yang kata air paip sejuk macam ais malah di Kuala Krai, penduduk sana dilaporkan terpaksa memakai baju sampai tiga lapis untuk menahan kesejukan.
Fenomena cuaca sejuk ini menjadi buah mulut orang ramai hingga ada yang menyimpan angan-angan untuk melihat salji turun di Malaysia – sesuatu yang sudah pasti mustahil jika mengikut hukum geografi.
Gambar di atas juga, dipercayai disunting seorang insan kreatif lalu disebarkan di Facebook berikutan cuaca sejuk yang turut dirasai penduduk di Temerloh, Pahang.
Untuk hari ini, suhu terendah dicatatkan di Kuala Krai, Kelantan dengan bacaan 19.1 diikuti Lubok Merbau, Kuala Kangsar, Perak dengan bacaan suhu 19.8. Tanah tinggi Cameron Highlands pula kekal sejuk dengan suhu 12.3.
Suhu tertinggi direkodkan di Mersing, Johor pada bacaan 24.9.
Perubahan cuaca membuatkan ramai orang menghidap selesema dan demam, selain memberi kesan pada penghidap asma.
Jadi orang ramai dinasihatkan agar menjaga kesihatan agar tidak ditimpa sebarang penyakit. – mynewshub
Semak caca dan suhu terkini di kawasan anda >> Jabatan Meteorologi Malaysia
Berikut merupakan kenyataan akhbar berkenaan Keadaan Cuaca Sejuk Di Malaysia dai Jabatan Meteorologi Malaysia.
Secara relatifnya, bulan Januari dan Februari merupakan tempoh suhu minimum yang agak rendah berbanding bulan-bulan lain.
Suhu udara yang sejuk daripada biasa yang dialami di kebanyakan tempat, terutamanya di kawasan pantai timur dan utara Semenanjung pada minggu ini adalah disebabkan oleh tiupan angin timur laut yang agak kencang yang berpunca dari tanah besar China yang pada ketika ini sedang mengalami musim sejuk.
Selain itu, keadaan litupan awan yang kurang di seluruh Semenanjung Malaysia sepanjang minggu ini turut membantu merendahkan suhu pada waktu malam dan awal pagi.
Berdasarkan kepada keadaan cuaca dan tiupan angin untuk beberapa hari yang akan datang, keadaan cuaca sejuk ini dijangka akan berlarutan sehingga awal minggu hadapan.
Berita mengenai kejadian salji di Indonesia adalah tidak benar. Adalah agak mustahil untuk negara-negara beriklim tropika seperti Malaysia dan Indonesia untuk mengalami salji kerana suhu udara kedua-dua negara tersebut adalah tinggi sepanjang tahun. Pemantauan keadaan cuaca di Indonesia adalah di bawah tanggungjawab Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizika.
No comments:
Post a Comment