KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dilaporkan telah memfailkan permohonan cerai secara fasakh daripada suaminya Disember lalu.
Namun di laman mikro twitter miliknya, Nurul Izzah menafikan pertanyaan mengenai berita tuntutan cerai yang mula tersebar hari ini.
The Star Online dalam laporannya mendedahkan semakan dengan Mahkamah Syariah Jalan Duta mendapati anak Ketua Umum PKR itu memfailkan tuntutan cerai secara fasakh daripada suaminya Raja Ahmad Shahrir Raja Salim bulan lepas.
Sementara portal The Malaysian Insider pula melaporkan Nuruh Izzah enggan mengulas lanjut isu berkenaan ketika ditemui Forum Strategi ASLI ke 16 hari ini.
Difahamkan sebutan kes penceraian sepatutnya pada 20 Januari lepas (Isnin) namun, Raja Ahmad Shahrir dikatakan memohon supaya sebutan tersebut ditangguhkan selama dua minggu.
Raja Ahmad Shahrir dikatakan membantah tuntutan yang dibuat oleh Naib Presiden PKR itu.
Sebutan kes tersebut akan didengar semula pada 8 Februari depan dan dikatakan tiada persefahaman merupakan alasan yang diberikan oleh Nurul Izzah ketika membuat tuntutan cerai secara fasakh.
Di bawah undang-undang Syariah, tuntutan penceraian biasanya akan melalui proses Sulh atau kaunseling.
Nurul Izzah, 33, dan Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, 35, berkahwin pada 9 Mei 2003.
Majlis perkahwinan pasangan itu diadakan di kediaman bapa Nurul Izzah iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Damansara, dekat sini.
Mereka dikurniakan seorang anak perempuan berusia tujuh tahun dan seorang anak lelaki yang berusia empat tahun.
No comments:
Post a Comment