Kadang kadang orang kita ini apabila dengar benda yang percuma semua pakat pakat nak cuba nasib, akhir sekali ditipu oleh sindiket sindiket penipuan ini. Yang terbaru, kes Sindekat Penipuan Pakej Umrah Percuma, Jom baca kisah lanjut :
MELAKA – Semangat berkobar-kobar 43 penduduk Kampung Telok Emas, di sini untuk mengerjakan umrah di tanah suci Makkah secara percuma berkecai, apabila mereka sebenarnya ditipu.
Sebelum ini, mereka dijanjikan pakej umrah percuma oleh seorang individu yang dikatakan berlagak seolah-olah berasal dari keluarga jutawan.
Lelaki berusia lewat 30-an itu menemui penduduk kampung dan menyatakan hasrat kononnya bapa mentuanya, seorang ahli perniagaan berhasrat memberi pakej umrah percuma.
Berikutan itu, penduduk terlibat, sebahagian besar dalam kalangan ibu tunggal, warga emas dan golongan berpendapatan rendah yang baru kali pertama mahu merasai menjejakkan kaki di tanah suci, melakukan pelbagai persiapan.
Malah, ada penduduk terlibat mengikuti kursus khas umrah sebanyak dua kali di masjid serta mengadakan kenduri kesyukuran secara berkelompok.
Bagaimanapun, sehingga tarikh dijanjikan, mereka bukan saja tidak berlepas ke tanah suci, malah tiada satu pun bayaran dijelaskan lelaki itu kepada agensi umrah dilantik, menyebabkan penduduk menyedari mereka ditipu.
Salah seorang penduduk, Mohd Zamri Salleh, 40, berkata, dia tertarik dengan tawaran lelaki itu selepas diberitahu seorang penduduk kampung yang turut menguruskan program berkenaan.
Menurutnya, penduduk memberitahu ia merupakan kali ke-10 bapa mentua lelaki berkenaan berbuat demikian bagi membantu mereka yang tidak pernah mengerjakan umrah.
“Mereka menawarkan pakej umrah percuma ini sejak Oktober lalu. Mengikut katanya, kami sepatutnya akan berlepas ke Makkah pada 14 Disember lalu.
“Kebanyakan kami sudah membuat persediaan termasuk kenduri di rumah masing-masing, malah ada yang sudah menempah bas untuk sanak saudara dan keluarga menghantar kami di lapangan terbang secara beramai-ramai,” katanya
Seorang lagi mangsa, Rabiah Hassan, 77, pula mendakwa individu berkenaan yang merupakan bekas pesara pasukan keselamatan turut menyampaikan ucapan di Masjid Telok Emas, sekali gus meyakinkan penduduk dengan tawaran diberikan.
“Kami sudah keluar duit sendiri untuk buat pasport, suntikan pelali serta belanja buat kenduri kesyukuran, tetapi tiba-tiba jadi macam ini.
“Makcik bukan orang senang, ingatkan ini baru hendak merasa jejak kaki kat tanah suci rupanya hampa,” katanya.
Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Wahab, 57, berkata, individu terbabit sebelum ini turut menunjukkan sebut harga kononnya telah menjelaskan bayaran kepada sebuah syarikat agensi umrah.
Menurutnya, dalam dokumen yang ditunjukkan itu jelas terpapar jumlah dibayar kepada agensi.
“Namun, selepas dirujuk, rupa-rupanya sehingga sekarang satu pun tidak dibayar kepada agensi terbabit.
“Kami sudah beberapa kali bertemunya tetapi segala alasan diberi tidak munasabah, lantaran terfikir di hati kami, dia telah menipu,” katanya.
Wahab berkata, akibat tindakan lelaki berkenaan, ia bukan saja menyebabkan penduduk kampung hampa, malah malu dengan ahli keluarga dan sanak saudara masing-masing.
“Ada yang menangis serta malu dengan ahli keluarga sendiri. Malah, mereka turut menuntut individu berkenaan menggantikan semua kos yang telah dikeluarkan semasa membuat persediaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment