SELEPAS setahun lapan bulan menyulam cinta, penyanyi baru, Zzati atau Nur Izzati Mohd. Rashid akui kini sudah putus cinta dengan kekasih hatinya yang merupakan pemain bola sepak kebangsaan, Wan Zak Haikal Wan Noor.
Zzati berkata, keputusan itu dibuat bagi menjaga maruah keluarga serta dirinya yang dituduh menggunakan ilmu hitam untuk menawan Wan Zack oleh salah seorang daripada ahli keluarga pemain itu.
Menurut penuntut jurusan Diploma Seni Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam Selangor itu, keputusan itu juga dibuat atas kehendak dirinya selepas mempertimbangkan masa depan hubungan mereka.
"Kini segalanya telah terjawab. Terlebih dahulu, Zzati ingin memohon maaf kepada semua pihak media kerana sudah lama mengelakkan diri dari anda semua.
"Dua bulan Zzati mengelak dari media, tak mahu menjawab apa-apa persoalan kerana inilah.
"Saya mencari kekuatan untuk berdiri semula. Segala apa yang ada di surat khabar hari ini sebenarnya ibarat menepuk air ke dalam dulang, alih-alih kena diri sendiri jugak. Tapi, inilah ceritanya.
"Bukan berniat nak aibkan sesiapa tapi niat untuk tebus balik maruah keluarga saya. Sejahil jahil saya dan keluarga, tak terfikir nak buat semua benda bodoh itu," katanya menerusi laman Instagram.
Dalam laporan media tempatan hari ini, hubungan cinta Zzati dengan Wan Zack dikatakan sudah berakhir sejak Oktober lalu.
Selain itu, Zzati juga dituduh sebagai pisau cukur dan sering menggunakan duit simpanan Wan Zack sepanjang perhubungan mereka.
Tambah Zzati, dengan segala tuduhan yang dilemparkan itu, beliau nekad untuk tidak kembali lagi bersama pemain itu.
Malah beliau juga berharap dirinya tidak akan lagi dikaitkan dengan Wan Zack biarpun pernah menjadi pembantu peribadi tidak rasmi sebelum ini.
"Sampai hati mereka tuduh saya pisau cukur. Saya bukan seorang yang pecah amanah. Apa pun, segalanya sudah berakhir dan pengakhirannya sangat 'terbaik'.
"Saya bersyukur kerana ALLAH tunjukkan segalanya awal. Syukur alhamdulillah dan saya harap jangan ada lagi yang bertanyakan atau mengaitkan lagi saya dengan dia," katanya.
No comments:
Post a Comment