Anumax - HQ

Kedai Emas Sri Harmoni

Dapatkan Mainan Serta Keperluan Kanak2 Pada Harga Borong Di Sini..

Monday 16 September 2013

10 aplikasi iPad untuk pendidik


Arus pembangunan teknologi digital kini memasuki sepenuhnya era tablet. Sebut sahaja tablet, hampir segenap lapisan masyarakat dari warga emas hingga kanak-kanak yang belum memasuki alam persekolahan mampu memberikan definisi sebuah tablet.
Apple iPad merupakan salah satu jenama yang sering menjadi topik perbualan hangat kerana reka bentuk unik selain pilihan ribuan aplikasi menyokong peranti itu.
IPad bukan lagi suatu gajet mewah yang hanya mampu digunakan oleh golongan atasan. Harganya yang berpatutan bermula dari RM1,499 menjadikan tablet itu pilihan mereka yang inginkan pengalaman pengkomputeran bergerak tanpa memerlukan sebuah komputer riba.
Operasi ringkas dan memerlukan masa yang singkat untuk dihidupkan (boot time) berbanding komputer biasa, menjadikannya popular dalam tempoh yang begitu pantas.
Golongan pendidik, tidak kira guru sekolah mahupun pensyarah di institusi pendidikan tinggi turut tidak terlepas daripada tempias teknologi itu. Salah satu cabaran sebagai seorang pendidik ialah merangka pelan pembelajaran. Berita baiknya, terdapat cabang teknologi yang boleh membantu seseorang menjadi seorang pendidik efektif.
Aplikasi iPad yang boleh membantu para pendidik menguruskan masa dan juga mencatatkan idea pelan pembelajaran adalah seperti :-
1. Bento: Aplikasi ini memudahkan pendidik memantau pelan pembelajaran, janji temu dan nota tentang pelajar.
2. Tetikus mudah alih: Dapat mengubah iPad anda menjadi alat kawalan jauh untuk kegunaan di dalam kelas.
3. Dropbox: Membolehkan rekod berkaitan pelajaran disimpan di komputer dan diselaraskan dengan ruang simpanan di Internet. Fail yang disimpan kemudiannya boleh diakses dari sekolah mahupun dari komputer di rumah.
4. Quick Voice Recorder: Rekod aktiviti pembelajaran di dalam kelas dan analisis butirannya bagi tujuan pemeriksaan untuk menambah baik kualiti pembelajaran.
5. Idea Boards: Jangan biarkan idea yang timbul secara spontan hilang begitu sahaja. Rekodkan idea dan jadikannya deraf untuk mengatur kelas. Anda juga boleh meletakkan peringatan pada nota-nota yang telah disimpan.
6. World Atlas HD: Aplikasi percuma yang ditawarkan oleh National Geographic ini membolehkan anda menggunakan peta bagi tujuan rujukan. Peta ini boleh dikaitkan dengan elemen menarik agak pelajar tidak mudah jemu ketika sesi pembelajaran.
7. BBC News: Gunakan sumber berita terkini sebagai salah satu sumber material bagi menyediakan bahan mengajar berkaitan peristiwa semasa, sejarah dan pelbagai lagi.
8. The Skeletal System Pro: Guru biologi atau pensyarah kursus perubatan boleh memanfaatkan aplikasi ini untuk memudahkan pemahaman pelajar mengenai sistem rangka, otot, pencernaan dan juga anatomi yang lain.
9. GoSkyWatch Planetarium: Aplikasi astronomi ini merupakan alat bantuan mengajar terbaik bagi subjek berkaitan dengan astronomi. Ia boleh digunakan ketika mencerap bintang bagi mengukuhkan lagi pemahaman para pelajar.
10. Cram: Pendidik boleh menggunakan aplikasi ini untuk menyediakan kuiz dan juga ujian untuk pelajar. Guru juga boleh mengakses bank simpanan kuiz dan ujian secara dalam talian bagi memudahkan lagi penilaian tahap pemahaman terhadap satu-satu subjek yang diajar.

No comments:

Post a Comment