Anumax - HQ

Kedai Emas Sri Harmoni

Dapatkan Mainan Serta Keperluan Kanak2 Pada Harga Borong Di Sini..

Wednesday 4 September 2013

Dua Kanak-Kanak Mati Lemas Ketika Memancing Di Panchor


Dua kanak-kanak mati lemas ketika memancing selepas terjatuh ke dalam sebuah sungai di Panchor hari ini.
Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, Mohd Haris Norhafiz, 10, dan Mohd Amirul Safwan Osman, 11, yang ke sungai berkenaan bersama beberapa lagi rakan mereka, dikatakan tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sungai berkenaan.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban N.Sundarum berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian itu pada 6.27 petang.
Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa ditemui orang ramai pada kira-kira 6.15 petang dan disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ).
“Sebanyak enam anggota penyelamat, termasuk unit skuba bomba, dikejar ke lokasi kejadian, bagaimanapun, kedua-dua mangsa telahpun dijumpai orang ramai dan dihantar ke hospital,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, bapa saudara Mohd Haris, Norefendi Zainal Abidin, ketika ditemui di HTJ berkata beliau mengetahui kejadian berkenaan selepas dimaklumkan anaknya yang turut memancing bersama mangsa.
“Biasanya, pada waktu petang mereka bermain bola, tapi hari ini, saya dimaklumkan mereka memancing dan tidak menyangka perkara ini terjadi dan saya rasa terkilan kerana Mohd Haris baru menyambut hari lahirnya semalam,” katanya.
Bapa tiri Mohd Amirul Safwan, Abu Bakar Tengah, terkejut dan berasa sedih dengan kejadian itu.
“Mohd Amirul Safwan jarang memancing, biasanya Allahyarham bermain permainan video. Saya amat sedih kerana dia meninggal di usia muda ketika mahu melakukan aktiviti memancing bersama rakannya,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asistan Komisioner Zainal Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kematian mengejut.

No comments:

Post a Comment