Selepas membuat keputusan bertudung sekembalinya dari menunaikan umrah pada Mac lalu, pelakon Eja mempraktikkan diri untuk tidak meninggalkan solat.
Eja atau nama sebenarnya Siti Shahrizah Saifuddin, 41, berkata, selama ini dia jarang melengkapkan sembahyang lima waktu yang diwajibkan untuk umat Islam kerana kesibukan tetapi selepas mendapat hidayah Allah, dia akan pastikan kewajipan itu dapat dilaksanakan walaupun di lokasi penggambaran.
“Sebagai manusia, banyak kekurangan yang saya miliki kerana sibuk dengan hal-hal dunia dan sepanjang 17 tahun berada dalam industri seni, kadang-kadang saya lupa terhadap kewajipan saya.
“Tetapi sejak pulang daripada mengerjakan Umrah buat kali keempat, hati dan fikiran saya sudah mula berubah.
“Saya memastikan diri ini tidak tinggalkan solat dan seandainya terlepas dengan tidak sengaja, saya akan qada semula. Selebihnya saya serah kepada Allah,” katanya.
Tambah pelakon yang popular dengan filem Sepi dan Janin ini, perubahan imej bertudung juga membuatkan dia lebih berjaga-jaga daripada segi tingkah laku serta pertuturan agar tidak dipandang serong.
Malah Eja juga berazam untuk melakukan kebaikan sesama manusia agar dapat menggembirakan mereka selain berusaha tidak melukakan hati sesiapa.
Sementara itu, Eja juga bersyukur imej baharu itu tidak menyekat rezekinya sebagai pelakon sebaliknya tawaran yang diterima tidak pernah putus termasuklah turut dilantik menjadi duta buat produk Cosry Skin Therapy.
“Kalau nak tahu, saya menandatangani kontrak dengan pihak Cosry sebelum bertudung dan Alhamdulillah apabila bertudung, mereka tetap menerima imej baru saya ini.
“Dan saya berpendapat, apabila kita melakukan perubahan kerana Allah, sudah pasti rezeki kita sentiasa ada dalam apa-apa situasi sekalipun asalkan kita rajin berusaha,” ujarnya.
Dalam pada itu Eja turut menasihati artis-artis bertudung lain agar tidak risau untuk meneruskan karier kerana industri hiburan tempatan sekarang ini lebih terbuka.
No comments:
Post a Comment