Mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas empat tertuduh yang terlibat dalam kes rogol beramai-ramai dan bunuh terhadap seorang pelajar perubatan di Delhi pada Disember lalu.
Mukesh Singh, Vinay Sharma, Akshay Thakur dan Pawan Gupta sebelum ini sudah didapati bersalah di atas semua pertuduhan pada Selasa lalu.
Hakim Yogesh Khanna yang menyifatkan kes berkenaan sebagai ‘paling jarang berlaku’ turut menolak permohonan pihak pembelaan supaya meringankan hukuman tersebut.
Dalam kejadian itu, mangsa, 23, dirogol beramai-ramai manakala teman lelakinya dibelasah dengan teruk di dalam bas.
Kedua-dua mangsa kemudian dihumban keluar dari bas berkenaan yang sedang bergerak.
Mangsa rogol menemui ajal di hospital di Singapura akibat kecederaan parah, dua minggu selepas kejadian.
Kes berkenaan disifatkan sebagai ganas dan kejam.
Ia kemudian menimbulkan kemarahan rakyat di seluruh India yang mengadakan tunjuk perasaan bagi mendesak undang-undang lebih tegas berkaitan kes rogol.
Sementara itu, Hakim Khanna juga menegaskan insiden tersebut telah mengejutkan seluruh India dan mahkamah tidak boleh ‘menutup mata’ terhadap jenayah seperti itu.
“Ini merupakan kes yang ‘jarang dalam kategori jarang berlaku’ dan hukuman mati perlu demi pengajaran,” katanya.
Salah seorang tertuduh, Vinay Sharma kelihatan menangis ketika hukuman dibacakan.
Terdahulu, kumpulan penunjuk perasaan di luar mahkamah meminta supaya keempat-empat tertuduh dijatuhi hukuman gantung sampai mati.
No comments:
Post a Comment