“Saya tidak akan reda pada sesiapa sahaja yang telah menyimpan isteri saya,” begitulah kata seorang peneroka tanah rancangan ini yang mendakwa isterinya tidak pulang ke rumah sejak Mei lalu dan menetap bersama seorang bergelar Datuk di Kuala Lumpur.
Peneroka terbabit, Abdul Rahman Mandak, 67, berkata, dia mendapat tahu perkara terbabit melalui jiran hadapan rumahnya baru-baru ini.
“Saya tidak tahu selama ini. Baru-baru ini jiran saya menceritakan kepada saya bahawa isteri saya kini tinggal bersama seorang bergelar Datuk di Kuala Lumpur.
“Jiran saya memberitahu dia mendapat cerita terbabit melalui anak lelaki saya. Jika benar, saya tidak reda lelaki itu menyimpan isteri saya,” katanya.
Tambahnya, isterinya, Hazizah Yahya, 60, ke Kuala Lumpur bersama anak lelakinya untuk menenangkan diri setelah mengalami pergaduhan besar pada Mei lalu.
“Ia berpunca kerana isteri saya asyik tidak berpuas hati dengan tindakan saya memasang mozek di dapur dan di bilik air.
“Walaupun sudah beberapa kali saya membetulkannya, dia tetap marah sehinggalah tercetusnya pergaduhan besar,” katanya.
Menurutnya, sejak daripada itu, sehingga kini dia tidak mendengar khabar berita dari isterinya. Malah anaknya juga enggan menyatakan apa-apa.
“Saya hanya menerima surat mahkamah isteri saya menuntut cerai. Tapi saya tidak mahu ceraikan dia mengenangkan dahulu kami pernah berjanji untuk sehidup semati.
“Dalam surat cerai itu, dia menuduh saya bertindak kasar ke atasnya sedangkan sepanjang kami berkahwin, saya tidak pernah memukulnya,” katanya.
Tambahnya lagi, antara sebab lain mengapa dia enggan menceraikan isteri yang dikahwini sejak 1970an lagi adalah kerana mengenangkan rumah yang mereka bina bersama di tanah rancangan ini sejak awal. Malah mereka juga telah dikurniakan enam anak yang kini sudah boleh hidup berdikari.
“Saya harap dia (isteri) dapat pulang ke rumah untuk menyelesaikan masalah kami ini. Saya tidak mahu dia buat perkara yang tidak wajar bersama Datuk terbabit,” katanya.
Abdul Rahman dalam pada itu turut membuat laporan polis berkaitan perkara terbabit setelah mendapati isterinya tidak pulang sejak tiga bulan lalu.
No comments:
Post a Comment