Seorang peneroka di Felda Kemasul, dekat Bentong, mahu penjelasan lanjut berhubung keadaan tangan kanan anak sulungnya yang bertukar menjadi hitam dan kini hidup ibarat orang kurang upaya (OKU) selepas hampir sebulan mendapat rawatan di hospital.
Mohd Roslan Dollah, 49, berkata, anak sulungnya, Norzahidah, 22, mengalami demam panas hingga tidak sedarkan diri pada 8 Mei lalu dan mereka sekeluarga membawanya ke Klinik Kesihatan Chemomoi.
Menurutnya, Norzahidah kemudiannya dibawa menaiki ambulans ke sebuah hospital di negeri ini untuk mendapat rawatan lanjut.
“Anak saya dimasukkan ke ICU (unit rawatan rapi) dan pada hari kelima dia dimasukkan ke situ, saya mendapati tangan kanan anak saya sudah bertukar warna menjadi biru kehitaman.
“Saya cuba bertanyakan punca mengapa ia terjadi, namun tidak diberikan penjelasan sewajarnya,” katanya.
Mohd Roslan berkata, kirakira 10 hari menerima rawatan di unit rawatan rapi, anaknya dipindahkan ke wad biasa sebelum dibenarkan pulang pada 9 Jun lalu.
Bagaimanapun katanya, apa yang menyedihkan tangan anaknya bukan sahaja hitam hingga ke paras siku, namun keupayaannya juga semakin terhad.
“Dahulu anak saya normal dan bekerja sebagai pembantu kedai di Bera, tetapi selepas keluar hospital, dia tidak berdaya hingga terpaksa diletakkan atas kerusi roda dan memakai lampin pakai buang.
“Setiap hari kami terpaksa menghantar Norzahidah ke Klinik Kesihatan Chemomoi untuk mencuci bahagian tangannya yang hitam, manakala kaki sebelah kirinya juga semakin lemah dari hari ke hari,” katanya.
Mohd Roslan berkata, mereka sekeluarga sedih melihat keadaan Norzahidah kerana tidak seperti dahulu dan memerlukan bantuan ahli keluarga untuk menguruskan diri.
Menurutnya, keadaan yang berlaku memberi kesan kepada kehidupan mereka sekeluarga memandangkan Norzahidah merupakan anak sulung daripada lima beradik.
“Kami cuma mahukan pembelaan sewajarnya atas apa yang berlaku kerana ia melibatkan masa depan Norzahidah walaupun semasa menerima rawatan, doktor ada menyarankan supaya tangan anak saya dipotong.
“Namun apa yang kami kesalkan ialah sehingga kini kami masih tidak mengetahui dengan jelas penyakit dialami Norzahidah kerana penerangan diberikan semasa menerima rawatan di hospital berbeza-beza,” katanya.
No comments:
Post a Comment