Anumax - HQ

Kedai Emas Sri Harmoni

Dapatkan Mainan Serta Keperluan Kanak2 Pada Harga Borong Di Sini..

Saturday 1 February 2014

Taktik Langgar Belakang Kereta Dan Samun. Hati-Hati!

Taktik Langgar Belakang Kereta Dan Samun. Hati-Hati! Saban hari kita digemparkan dengan pelbagai berita jenayah yang sangat membimbangkan

Saban hari kita digemparkan dengan pelbagai berita jenayah yang sangat membimbangkan terutamanya kepada rakyat marhean seperti kita. Jenayah besar biarpun kecik tak putus-putus menjadi buah mulut rakyat Malaysia ketika ini.
Hari ini admin terpanggil untuk berkongsi artikel tentang taktik “licik” jenayah samun iaitu dengan melanggar belakang kereta mangsa sebelum menyamun mangsa. Bacalah hingga habis, tips pencegahan pon disediakan. admin ambil dari laman berita Sinar Harian. Semoga ianya bermanfaat buat semua. In Shaa Allah.
SEGELINTIR individu mungkin pernah menjadi mangsa sekumpulan penjenayah yang sengaja melanggar belakang kereta mangsa.
Taktik ini bertujuan memperdayakan mangsa untuk memberhentikan dan keluar dari kereta sebelum menyamun.
Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Cassandra, 28, menceritakan semula detik cemas yang dialaminya. Ketika kejadian itu, dia berseorangan memandu kereta Toyota Vios dalam perjalanan pulang ke rumah pada jam 1.40 pagi.
Menurutnya, dia terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian belakang kereta, lalu terus memberhentikan kenderaan.
“Dua lelaki bertubuh besar keluar dari sebuah kereta datang menghampiri kereta saya, Mereka mengetuk cermin tingkap kereta sambil menyuruh saya keluar untuk berbincang mengenai kemalangan itu” katanya.
Cassandra berkata, dia kemudian membuka sedikit cermin tingkap kereta. Seorang daripada lelaki terbabit meminta maaf dengan memberitahu rakannya memandu dalam keadaan mabuk serta kereta yang dinaiki mereka turut mengalami masalah brek sehingga mengakibatkan kemalangan itu.
“Pada mulanya saya tidak mengesyaki kejadian itu bermotifkan rompakan sebaliknya menyangka ia kemalangan biasa. Tambahan pula lelaki itu memberi alasan mahu membayar ganti rugi,” katanya.
Wanita itu berkata, tanpa disedari seorang lagi lelaki di dalam kereta yang dinaiki oleh dua lelaki itu, tiba-tiba menghampirinya dengan mengacukan parang.
“Akibat rompakan itu, saya kehilangan kamera digital, wang tunai RM500, malah kereta milik saya turut dilarikan penjenayah itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, pihaknya menerima 49 kes penjenayah menggunakan modus operandi melanggar belakang kenderaan sebelum menyamun pemandunya sejak awal tahun ini sehingga Ogos lalu.
“Daripada kesemua jumlah itu, sebanyak 25 kes berlaku di daerah Brickfields, diikuti 16 kes di Cheras dan lapan kes di Sentul,” katanya.
Laporan media
1. SHAH ALAM – Polis menumpaskan kumpulan penjenayah yang melanggar belakang kereta sebelum melarikan kenderaan mangsa setelah memberkas tujuh ahli kumpulan itu baru-baru ini.
Kesemua suspek yang berusia antara 20 hingga 38 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan di Desa Mentari dan Ara Damansara, selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa yang kehilangan trak pikap Toyota Hilux dalam kes samun di Kelana Jaya.
Hasil siasatan ke atas semua suspek, polis menemukan dua buah kereta Proton Waja, sebuah kereta masing-masing jenis Nissan Teana dan Proton Putra yang dicuri.
Polis turut merampas beberapa peralatan dan senjata seperti parang, kayu golf, buku lima dan sarung tangan yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan tersebut.
2. Kuala Lumpur- Sindiket samun bersenjatakan parang dan taktik langgar belakang kereta tumpas dengan penahanan sembilan ahlinya di sekitar ibu negara dalam dua serbuan polis.
Berikutan itu, polis berjaya menyelesaikan 20 kes samun harta benda serta lapan kereta bernilai RM600,000 yang dilaporkan hilang tetapi ditemui semula di sekitar Lembah Klang dan Selangor.
Penahanan sembilan suspek termasuk seorang wanita berusia lingkungan 20 tahun hingga 30 tahun itu dilakukan dalam dua serbuan di dua hotel bajet di Off Jalan Kuchai Lama dan Desa Sri Hartamas.
Lima suspek yang ditahan didapati memiliki rekod jenayah lampau termasuk dua kes dikehendaki polis kerana jenayah samun dan dadah.
Hasil soal siasat ke atas suspek membawa kepada penemuan lapan kereta iaitu jenis Honda CRV, Honda City, Honda Civic, Toyota Vios, Toyota Unser, Proton Waja, Audi Q5 dan BMW X5 di beberapa kawasan awam.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai jenis kunci kereta, masing-masing satu pedang samurai, pisau, kikir, besi panjang, lapan unit penutup muka dan sebuah jam tangan.
Jenis kereta yang menjadi sasaran sindiket itu ialah Totoya Vios warna putih berikutan permintaan tinggi dalam pasaran gelap.
Tip pencegahan
Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada agar tidak terpedaya dengan penjenayah yang sanggup melakukan pelbagai cara untuk melakukan jenayah. Mereka juga mampu melarikan kereta milik mangsa dalam sekelip mata.
1. Apabila berlaku kemalangan kenderaan dari bahagian belakang, jangan panik. Mangsa disarankan menghubungi saudara atau kenalan untuk bantuan.
2. Gunakan cermin pandang belakang dan sisi untuk meninjau keadaan kereta di belakang, terutamanya pemandu serta penumpang dalam kereta tersebut.
3. Cuba dapatkan nombor pendaftaran, jenis dan warna kereta tersebut. Ingat nama jalan dan terus pergi ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.
4. Jika kejadian itu berlaku pada waktu malam atau di kawasan yang terpencil, elak turun dari kereta.
5. Kerosakan kenderaan boleh ditampung oleh pihak insurans, namun keselamatan diri perlu diutamakan.
Akta/hukuman
1. Seksyen 379A Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum tujuh tahun dan denda.
2. Seksyen 411 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun serta boleh didenda.
3. Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

No comments:

Post a Comment