Anumax - HQ

Kedai Emas Sri Harmoni

Dapatkan Mainan Serta Keperluan Kanak2 Pada Harga Borong Di Sini..

Tuesday 7 January 2014

Temu jodoh di rumah anak yatim

Hubungan rapat dua penghuni rumah Rumah Anak Yatim Darul Aminan, Ampangan di sini yang disemai sejak kecil berakhir di jinjang pelamin.

Tanpa disangka bekas penghuni rumah kebajikan tersebut, Imron Abdul Rahman, 25, bertemu jodoh dengan pasangannya Haslin Sahak, 24, yang juga penghuni di situ setelah mengenali hati budi masing-masing dengan lebih mendalam.

Akur dengan permintaan keluarga, pada 23 November lalu, cinta mereka bersatu apabila selamat diijabkabulkan di tempat kelahiran Haslin di Rembang Panas, Kuala Pilah.

Manakala majlis meraikan pasangan ini diadakan di rumah kebajikan berkenaan yang diadakan bagi meraikan bekas penghuni rumah kebajikan terbabit yang pertama kali  mendirikan rumah tangga.



Antara tetamu yang hadir, Undang Luak Sungai Ujong, Dato’ Klana Petra Mubarak Dohak dan isteri Toh Puan Norhashimah Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, Abu Ubaidah Redza.

Turut memeriahkan majlis iaitu penyanyi tempatan, Shila Amin, Salwa dan Rohana Jalil yang hadir membuat persembahan.

Imron yang lebih dikenali sebagai Apek berkata, dia tidak menyangka jodohnya dengan Haslin yang dikenalinya di rumah kebajikan terbabit.

“Ayah saya meninggal dunia ketika saya berusia dua tahun dan saya mula tinggal di rumah anak yatim ini ketika berumur 13 tahun.

“Saya kenal Haslin setahun selepas itu dan kami pernah bersekolah di Sekolah Menengah Sri Ampangan sebelum saya berpindah ke Sekolah Menengah Teknik Ampangan,” katanya.

Imron berkata, hubungan yang terjalin sejak kecil sebagai penghuni rumah kebajikan itu diteruskan apabila dia dan Haslin berjaya melanjutkan pelajaran di Institut Latihan Perindustrian Pedas, Rembau.

Imron yang kini bertugas sebagai juru kimpal di Puchong, Selangor berkata, dia tertarik dengan perwatakan lembut Haslin yang turut mempunyai sifat tegas sebagai seorang wanita.

“Sebenarnya hubungan saya dan Haslin sudah seperti adik beradik kerana kami tinggal di rumah kebajikan yang sama.

“Walaupun kami tidak lagi tinggal di rumah kebajikan itu, tapi kami masih berhubungan. Namun, tanpa sedar saya mula tertarik dengan hati budinya dan atas permintaan keluarga, kami bersetuju untuk bernikah,” katanya.

Manakala Haslin yang agak pemalu berkata, sikap penyayang yang ditampilkan Imron menyebabkannya tertarik untuk menerima lelaki itu sebagai suami.

“Saya berharap ikatan perkahwinan yang dibina ini berkekalan selama-lamanya.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan majlis perkahwinan kami terutamanya ‘ayah’ dan ‘mama'’,” katanya yang kini bekerja sebagai pembantu juruteknik di sebuah kilang di Senawang.

Pastinya majlis perkahwinan yang julung kali diadakan ini menjadi detik paling bermakna buat pengerusi rumah kebajikan itu iaitu Kamalul Arifin Abu Kasim (ayah) dan isteri Ruzita Abd Aziz (mama) yang membangunkannya sejak Januari 2006.

No comments:

Post a Comment