Anumax - HQ

Kedai Emas Sri Harmoni

Dapatkan Mainan Serta Keperluan Kanak2 Pada Harga Borong Di Sini..

Monday 23 December 2013

Menarik!! Kisah Anak Raja Yang Sangat Berjaya

Menarik!! Kisah Anak Raja Yang Sangat Berjaya
Tengah meneliti satu artikel yang dipaparkan di BH, Saya tertarik dengan kisah seorang anak raja di Malaysia ini. Artikel ini memaparkan kisah hidup beliau dan bagaimana beliau yang hanya dulu bekerja sebagai penyambut tetamu tapi sekarang sudah berjaya didunia korporat. Sama-sama kita hayati kisah beliau dan menjadikan beliau sebagai inspirasi hidup. Selamat membaca.
Dari penyambut tetamu hingga ke dunia korporat
Beliau pernah berada dalam kalangan orang biasa saja apabila bertugas sebagai wartawan di akhbar New Straits Times di ibu negara selama lebih dua tahun.
Bahkan sebelum itu, puteri kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Tengku Datin Paduka Zatasha Sultan Idris Shah sudah membiasakan kerja di peringkat bawahan lagi dengan menjadi penyambut tetamu di Hotel Ascot di London. Sebelum itu, menjadi kakitangan biasa di sebuah agensi pengiklanan di Sepanyol.
Jika mengalah, sudah lama saya rebah. Tiada yang mustahil jika kita kuat berpegang dengan azam serta tahu apa yang kita mahukan dalam hidup.” Tengku Datin Paduka Zatashah Sultan Idris, Shah, Pengarah Light Cibles International Group
Kemuncak kerjanya Tengku Zatasha menjadi Pengurus Komunikasi Korporat di sebuah firma antarabangsa yang berpangkalan di Paris, Perancis. Di situ jugalah beliau bertemu dengan pasangan hidupnya yang juga berbangsa Perancis, Aubry Rahim Menesson.
Ternyata menyusuri perjalanan kerjayanya, beliau membuktikan dirinya memang kurang gemar berbangga diri dengan status dan kedudukannya tetapi lebih selesa berusaha sendiri dengan bermula dari bawah.
Hari ini, Tengku Zatasha adalah Pengarah syarikat miliknya, Light Cibles International Group (LCIG) iaitu perunding dan pereka lampu untuk hotel.
“Memang ada tanggapan yang mengatakan segala-galanya mudah bagi anak raja seperti saya. Tanggapan itu tidak betul.
“Saya juga menghadapi banyak cabaran, halangan dan tekanan untuk mencipta kejayaan seperti sekarang.
“Macam manapun, saya tak nafikan dilahirkan dalam kalangan keluarga istana sedikit sebanyak membantu juga terutama dari mendapatkan peluang perniagaan dan membina rangkaian rakan usahawan. Tapi setakat itu sajalah,” katanya dalam temu bual bersama INSPIRASI.
Menurutnya, beliau masih perlu berusaha, memikirkan strategi meneroka dan meluaskan perniagaannya serta mengatur temu janji dengan pelanggannya.
“Saya masih perlu meyakinkan pelanggan pada setiap temu janji. Saya pun kena buktikan keupayaan dan kebolehan diri sebagai perunding dan pereka lampu,” katanya yang turut mempunyai cawangan pejabat luar negara termasuk Perancis, Singapura, Sepanyol dan China.
Bukan perkara mudah
Bercerita mengenai cabaran perlu dihadapi, Tengku Zatashah berkata, beliau perlu bekerja keras menerangkan kepada pelanggan bahawa LCIG bukan pembekal lampu sebaliknya bertanggungjawab menghasilkan rekaan terutama untuk projek berskala besar membabitkan bangunan komersial, warisan dan taman landskap yang memerlukan sistem pencahayaan.
“Perniagaan ini belum dikenali sangat di negara kita. Jadi, bagi meyakinkan pelanggan, saya perlu sentiasa bersedia dengan portfolio yang menyenaraikan pencapaian serta pengiktirafan yang pernah diterima.
“Malahan, saya perlu berkongsi sekali gus menerangkan kepada pihak terbabit mengenai rekaan lampu yang boleh memberi penyelesaian ke atas dunia arkitektur selain tuntutan keperluan urban,” katanya.
Antara usaha yang sedang dilakukan ialah menguruskan projek Pelan Induk Pencahayaan Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Lighting Master Plan) bersama-sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Beliau bersyukur kerana kerajaan dan sektor swasta mula berminat untuk mengenali syarikat selanjutnya menaruh kepercayaan mendapatkan khidmat pakar serta teknikal, pengalaman selain keperluan kerja kreatif.
Apapun, tegas beliau, berniaga bukan perkara mudah kerana menuntut kecekalan disusuli usaha gigih sebelum meraih imbuhannya.
Menurutnya, projek dirancangnya bersama DBKL itu menguji kemampuan kerana memerlukan beliau dan suami mengemukakan panduan menyeluruh pencahayaan bandaraya Kuala Lumpur bermula landskap, lampu jalan hingga fasad (permukaan) bangunan yang baru saja berakhir bersama selesainya projek Masjid Jamek.
“Saya berterima kasih dengan kepercayaan diberikan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang memahami kepentingan pencahayaan sempurna dalam memacu pembangunan negara sekali gus menjadikan Wawasan 2020 bukan sekadar bicara kosong.
“Hakikatnya, sejak penubuhan, Light Cibles sudah terbabit dengan lebih 30 projek seumpamanya. Jalinan kerjasama bersama sektor swasta juga diberi keutamaan dan antara projek baru bakal menyusul termasuk Four Season Palace, Kuala Lumpur, Club Med Cherating, Sunway Velocity Mall, PJ Sentral Garden City serta beberapa projek pembangunan Iskandar Johor,” katanya.
Ada ijazah saja tak memadai
Tengku Zatasha adalah pemegang Ijazah Sarjana Lanjutan di American Graduate School of International Relations & Diplomacy bagi jurusan Hubungan Antarabangsa dan Diplomatik (2004-2007).
Anakanda kedua daripada tiga beradik itu juga graduan Université Paris Sorbonne (Paris IV) dan Universiti Middlesex, England.
Namun, katanya menggenggam segulung ijazah tidak semudah memetik jari kerana pada masa sama terikat dengan komitmen kerja.
Ramai kenalan dan rakan pejabatnya ketika itu meragui keupayaannya dalam usaha untuk menamatkan pengajian.
Ternyata memiliki ijazah saja masih belum memadai untuk menghadapi cabaran. Justeru, beliau perlu mencari pengalaman di lapangan. Gabungan ijazah yang dimiliki dan pengalaman kerja itu memberikan pengalaman untuk berdepan dengan masyarakat, seterusnya membina kerjaya dan berjaya dalam bidang korporat.
“Jika mengalah, sudah lama saya rebah. Tiada yang mustahil jika kita kuat berpegang dengan azam serta tahu apa yang kita mahukan dalam hidup,” katanya.
Berkat kesungguhan itu, beliau bukan sekadar lulus pengajian bahkan berjaya meraih pengiktirafan Magna cum Laude (Kepujian) dalam ijazah Sarjana Lanjutan.
Pernah dipilih sebagai Duta Belia Kebangsaan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Kebangsaan selama hampir sembilan tahun bermula Ogos 1993.
Baru-baru ini memperoleh pengiktirafan Pengarah Wanita dalam Program Latihan Pengarah Bukan Eksekutif bagi syarikat awam yang disenaraikan juga hak milik persendirian yang dianugerahkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“Ini sejajar matlamat Kementerian mensasarkan 30 peratus pembabitan wanita memegang jawatan pengarah dalam syarikat. Saya bertuah kerana program ini menemukan saya dengan wanita di luar sana yang bukan saja bijak, berkaliber malah tampil yakin serta penuh keazaman.
“Saya yakin kaum wanita mampu memberikan persaingan hebat juga menguasai dunia korporat jika kena dengan peluangnya selain diberi kepercayaan.
“Sesuai sangat dengan prinsip yang selama ini menjadi pegangan saya, ‘ mimpi takkan menjadi nyata jika gagal disusuli tindakan dan perancangan dan saya. Untuk itu jangan berhenti bermimpi’,” katanya tersenyum manis namun ketara ketegasan serta keazaman di seraut wajah jelita puteri kesayangan rakyat itu.

No comments:

Post a Comment